Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Tahun Baharu 2026: Pencarian Juara Digital Sarawak bermula
  • TEMPATAN

Tahun Baharu 2026: Pencarian Juara Digital Sarawak bermula

Utusan Sarawak 3 hours ago
KETUA Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili bersama kakitangan AZAM Sarawak serta AZAM Young Souls semasa Majlis Hi-Tea PraTahun Baharu Cina 2026.

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak menganjurkan Majlis Hi-Tea PraTahun Baharu Cina 2026 di Kompleks AZAM di sini dalam suasana sederhana namun penuh semangat kebersamaan, melibatkan warga kerja serta ahli AZAM Young Souls (AYS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ali Suhaili berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar meraikan perayaan, sebaliknya menjadi platform memperkukuh nilai kebersamaan dan budaya organisasi yang harmoni.

“Bagi AZAM, perayaan tidak perlu diraikan secara besar-besaran. Yang lebih penting ialah nilai kebersamaan, saling menghormati dan kefahaman antara satu sama lain. Inilah asas yang membentuk organisasi yang kukuh dan berdaya tahan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurut beliau, walaupun diadakan secara berskala kecil, sambutan tersebut tetap diteruskan sebagai manifestasi komitmen AZAM Sarawak dalam mengekalkan nilai keterangkuman, kesederhanaan dan kebersamaan dalam organisasi.

Pendekatan itu, jelasnya, mencerminkan prinsip bahawa kekuatan sesebuah organisasi bukan diukur melalui kemeriahan acara, sebaliknya melalui makna serta nilai yang dikongsi bersama.

Bagi ahli AYS, majlis berkenaan turut menjadi ruang pendedahan kepada budaya kerja AZAM yang menekankan disiplin, kesederhanaan serta kepimpinan melalui teladan.

Golongan belia tersebut terus dibentuk sebagai nadi dan rakan strategik organisasi dalam mendekati serta berinteraksi dengan komuniti.

Bertemakan ‘Melangkah Pantas ke Hadapan dengan Progres Digital’, majlis itu selari dengan kesiapsiagaan AZAM Sarawak dalam mendepani agenda pendigitalan negeri.

Sehubungan itu, AZAM Sarawak bersedia menyokong penganjuran Program Juara Digital Sarawak anjuran Perbadanan Sarawak Ekonomi Digital (SDEC) menerusi pendekatan komunikasi dan penglibatan komuniti yang berfokus kepada bidang keusahawanan digital, khususnya dalam kalangan belia tempatan.

Program tersebut melibatkan 45 peserta yang akan kembali ke daerah masing-masing bagi mengadakan kelas serta sesi literasi digital di komuniti setempat.

Daripada jumlah itu, seorang peserta terbaik akan dipilih dan dinobatkan sebagai Juara Digital Sarawak, sekali gus membawa pulang pengiktirafan serta ganjaran yang ditawarkan.

Sebagai rakan kolaborasi strategik, AZAM Sarawak akan memainkan peranan dalam menyokong aspek komunikasi, penyebaran maklumat serta pendaftaran komuniti bagi memastikan penyertaan yang inklusif dan menyeluruh.

Komuniti yang berminat menyertai program berkenaan boleh menghubungi AZAM Sarawak untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk proses pendaftaran.

Seiring simbolik Tahun Kuda yang melambangkan momentum dan ketahanan, AZAM Sarawak akan terus melaksanakan inisiatif berfokus, memperkukuh kolaborasi strategik serta menggerakkan pendekatan komunikasi partisipatif demi meningkatkan kesiapsiagaan komuniti dalam era digital.

Continue Reading

Previous: Sarawak semak semula kadar sewaan kemudahan sukan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.