KUCHING: Tahap kesedaran golongan wanita luar bandar di Sarawak mengenai tanda awal kanser payu dara masih rendah. Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penting untuk mengambil langkah pencegahan awal. “Saya mencadangkan agar kajian berkenaan diperluaskan ke seluruh Sarawak bagi memperolehi data sebenar kesedaran wanita untuk mengesan pesakit kanser payu dara peringkat pertama.
“Ini kerana sejak 2019 hingga 2021, jumlah pesakit kanser payu dara yang berdaftar di HUS ialah seramai 610 pesakit dan kita percaya angka itu sebenarnya kecil berbanding pengidap sebenar. “Kita tidak mempunyai rekod sebenar jumlah pesakit kanser payu dara di Sarawak. Ini menyukarkan proses advokasi dan memberi rawatan susulan di hospital,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Larian Amal Pink 2022 di dataran Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini pagi semalam.
Terdahulu, Fatimah turut menggesa golongan wanita terutama di luar bandar supaya tidak malu untuk tampil mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda awal kanser payudara. “Ada pesakit yang hanya menyedari mereka menginap kanser di peringkat akhir dan ini menyukarkan rawatan pemulihan. “Di negara maju sekiranya mendapat data awal, pesakit berjaya diselamatkan menerusi rawatan yang diberikan.” Fatimah menambah, kerajaan juga menghulurkan bantuan termasuk subsidi kepada golongan B40 yang disahkan menghidap penyakit berkenaan.
“Selain itu, separuh bayaran atau rawatan percuma diberikan kepada wanita yang tampil ke untuk melakukan ujian mamogram,” katanya. Dalam pada itu, acara berkenaan diadakan bertujuan meningkat kesedaran orang ramai terutama wanita terhadap kanser payu dara menerusi larian amal sejauh lima kilometer (km) dan tiga km. Turut hadir, Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS), Dr. Ngian Hie Ung.