Oleh Abang Median Abang Said
MENCARI kekurangan daripada sesebuah karya kreatif, terutama melalui karya prosa (dalam tulisan ini menjurus kepada cerpen “Jangan Ditindih-tindih” karya Asyraff Jamin) adalah sesuatu yang sukar, terutamanya jika sesuatu itu hadir bukan daripada lingkungan budaya atau ilmu pengkritik atau pembaca. Clifford Geertz menyatakan bahawa mencari kekurangan daripada hasil sesebuah karya sangat menakutkan – sama ngerinya untuk menyatakan kebenaran tentang kekurangan tentang kehidupan seseorang (Geertz, 1973). Atas prinsip itulah, Geertz menjadikan kajian antropologi menjurus kepada wacana sosial yang lebih berfokus kepada sosiobudaya dengan mengkaji peranan budaya dalam kehidupan sosial untuk melihat budaya itu dari kaca mata yang betul. Geertz yang cenderung terhadap bidang etnografi menjadikan pemerhatian langsung sebagai deskripsi yang sistematik berdasarkan pemerhatian secara langsung tentang institusi kebudayaan yang mencakupi bidang sosial, politik, ekonomi dan keagamaan yang teradun membentuk satu sistem yang saling berkaitan antara satu sama lain. Geertz telah menggunakan satu kaedah yang diistilahkan oleh Gilbert Ryle sebagai thick description yang merupakan huraian yang padat. Kaedah ini akan membina kesimpulan yang luas biarpun daripada perkara yang nampak kecil atau remeh daripada idea, tema, persoalan atau plot yang dibina oleh penulis. Pembaca akan menemui perincian untuk merasai apa yang ingin disampaikan sama ada secara mental atau emosi.
Melalui kaedah huraian lengkap atau thick description, Asyraff Jamin cuba memaparkan tentang peristiwa, resam, budaya, idea dan agama tentang masyarakat Melayu yang beragama Islam. Pengarang menghimpunkan fakta tentang pemakaian baju Melayu yang mempunyai falsafahnya yang tersendiri untuk dimasukkan dalam cerpennya. Pengarang telah menyusun peristiwa yang berfungsi dengan cara yang mudah dengan menggunakan teknik dialog yang memberikan pemahaman langsung kepada pembaca.
Sesuai dengan kehangatan bulan Ramadan dan kehadiran bulan Syawal yang bakal tiba, cerpen “Jangan Ditindih-tindih” cuba mengungkapkan tentang persoalan tersebut tatkala permulaan cerpennya memerihalkan tentang watak Khairi yang merasai dugaan sewaktu menjalani ibadah puasa. Perjalanan detik waktu terasa begitu lambat hingga watak berkenaan sentiasa gelisah menanti waktu Maghrib atau lebih tepatnya waktu untuk berbuka puasa. Rutinnya yang menjadikan buku sebagai eskapisme untuk menghilangkan kebosanan menyebabkan Khairi teringatkan pula dengan air kopi yang sentiasa menemani ruang pembacaannya. Situasi tersebut terus mengheret watak berkenaan dalam keadaan resah dan gelisah.
Pengarang memerihalkan tentang masalah kebosanan, keresahan dan kegelisahan watak Khairi dalam dua muka surat yang seolah-olah memberikan gambaran bahawa itulah tema atau pokok persoalan yang ingin disampaikan oleh pengarang. Pembaca telah menyusun persepsi diri bahawa itulah konflik yang akan dirungkaikan oleh pengarang pada pengakhiran cerpen. Walau bagaimanapun, konflik watak Khairi itu hanyalah permulaan kepada inti yang ingin disampaikan pengarang tentang falsafah dan budaya daripada pemakaian baju Melayu. Permulaan cerpen yang ditulis oleh pengarang hanya merupakan latar peristiwa untuk pengarang cuba memperkatakan tentang budaya dan falsafah fesyen dan jahitan baju Melayu. Permulaan cerpen yang sebegini kurang mampu merangsang keinginan pembaca untuk mengetahui atau mengaitkan konflik utama yang sepatutnya dirinci pada perenggan-perenggan awal lagi. Perkara ini perlu diambil perhatian oleh pengarang dalam penghasilan cerpen-cerpennya yang akan datang.
Jikalau pandangan Geertz digabungkan dengan pandangan Ruth Benedict, mereka sepakat mengatakan bahawa penulisan adalah self-reflexi yang bertindak sebagai komentar terhadap masyarakat itu sendiri. Sesebuah karya akan dijadikan sebagai wahana yang menggabungkan fiktif dan fakta. Perkara itu turut terdapat dalam cerpen “Jika Ditindih-tindih” apabila karya berkenaan dijadikan refleksi untuk mengkritik persepsi salah masyarakat tentang sesuatu perkara, iaitu persepsi Siddiq tentang baju Melayu yang boleh diolah sesuka hati mengikut perubahan zaman atau kemasukan budaya negara lain.
Siddiq dalam cerpen berkenaan berbangga dengan fesyen baju Melayu yang telah dimodenkan hingga dimasukkan elemen “K-Pop”. Dia menunjukkan fesyen itu kepada Khairi menerusi telefon bimbitnya. Perkara tersebut menimbulkan rasa kurang senang kepada Khairi yang cuba membetulkan kesilapan persepsi berkenaan. Bagi Khairi, perkara itu telah cuba merosakkan budaya dan warisan orang Melayu yang dipakai secara turun-temurun sejak kesultanan Melayu Melaka lagi.
Pengarang menggunakan dialog yang panjang dan sedikit berkhutbah untuk menyampaikan elemen moral sebagai teguran kepada masyarakat yang disampaikan melalui watak Khairi dalam cerpen ini. Berikut diturunkan semula dialog berkenaan :
“Aku tahulah kau peminat KPOP, Diq… dan kaulah yang paling beria sekali dengan kumpulan apa tu… BTS, TBS, BST… apa entah… dan macam-macam lagilah… aku pun tak tahu nama dia… Black Pink segala bagai tu…. Kita ni, kalau nak minat sesuatu, jangan sampai taksub, jangan sampai lupa diri, Diq.”
Persoalan tentang warisan yang ditindih-tindih dengan budaya asing dipanjangkan lagi dengan dialog yang seterusnya:
“Salah tu tak salah…. Tapi janganlah melampau sangat, macam aku cakap tadi… jangan sampai lupa diri… jangan sampai warisan budaya kita pun kita nak tindih-tindih dengan unsur asing macam tu…. Aku tak rela budaya Melayu ditindih-tindih macam tu… kau rela? Sedarlah, kau tu orang Melayu, bukannya keturunan Kim Jong Unn… Park Jii Sung… Son Heung Ming hatta mamat-mamat KPOP semua-semua tu. Kulit kau pun jauh bezalah, Diq, mata pun bulat….”
Dialog-dialog dalam cerpen ini sengaja diturunkan semula untuk memperlihatkan bagaimana thick description dilakukan secara tidak langsung dalam cerpen ini. Selain itu, pengarang dalam cerpen ini juga cenderung menggunakan pendekatan verstehe, iaitu melihat sesuatu perkara daripada kaca mata pelaku atau watak dalam cerpen ini. Sikap yang terlalu obses dengan budaya luar telah menyebabkan masyarakat sanggup mencemarkan tradisi warisan budaya biarpun untuk merayakan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Situasi itulah yang cuba diketengahkan oleh pengarang. Fesyen sebegini terus dipromosikan sempena hari raya. Fesyen bercirikan budaya luar sememangnya tidak sesuai pada Aidilfitri. Kemunculan pakaian moden dengan pengaruh luar pasti akan melunturkan identiti pakaian tradisional. Ironinya, banyak bangsa yang maju di dunia masih mengekal dan memupuk pakaian tradisional mereka. Bangsa Korea sendiri masih mengekalkan pakaian tradisi mereka, malah menjadikan pakaian ini sebagai ikon yang dibanggakan. Perkara ini dijelaskan oleh Khairi melalui teknik dialog kepada watak Siddiq:
“Cuba kau tengok budaya orang Korea, di negara mereka. Mereka pun ada baju kebangsaan mereka sendiri. Samalah macam kita, ada Baju Melayu sebagai baju kebangsaan kita. Baju Hanbok tu, ada kau tengok mereka ubah-ubah, atau tindih-tindih baju kebangsaan mereka dengan unsur asing? Ataupun cuba nak modenkan? Ada mereka cuba nak ubah tradisi mereka?”
Dialog tersebut mempunyai kewajaran jikalau dinilai dari aspek nilai yang ingin diterapkan oleh pengarang melalui watak yang dibina. Umpamanya, dalam kalangan masyarakat British, Irish dan negara barat lain, mereka juga tidak mencampur-adukkan pakaian tradisi mereka sehingga terus disanjung, terutama apabila menyambut keraian dan ritual. Namun di Malaysia, pereka fesyen yang tidak bertanggungjawab secara bebas terus menampilkan pengubahsuaian dan pembaharuan baju raya yang sebenarnya telah mencemar dan merosakkan keaslian makna dan simbolik Melayu melalui pemakaian.
Cerpen ini turut memperlihatkan bagaimana tingkah laku ditemui bukan sahaja dalam pelbagai keadaan kesedaran tetapi juga melalui simbol. Namun, semua makna ini hanya disampaikan melalui teknik yang sama, iaitu dialog. Pengarang disarankan untuk menggunakan teknik plot yang pelbagai agar cerpen ini tidak monotonous – persis dialog antara dua orang sahabat yang ditempelkan dengan fakta. Namun, usaha pengarang memperkatakan tentang falsafah melalui reka fesyen baju Melayu yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat patut dipuji. Simbol atau makna daripada fesyen baju Melayu itu dapat dilihat daripada kutipan berikut:
“Oh, tak… tak… haaa… mari sini aku nak cerita sedikit apa makna di sebalik kedua-dua baju Melayu ni. Baju Melayu ni selain pada hari raya, bila lagi orang akan pakai?”
“Hari Jumaat, waktu solat…”
“Nampak tak? kebanyakan orang akan pakai baju Melayu pada hari Jumaat dan waktu solat bukan? Jadi dari segi pemakaiannya tu, memang berkait rapat dengan ibadah kita, berkait rapat dengan Islam. Melayu dan Islam, dua benda yang tak dapat nak dipisahkan. Baik, untuk Baju Melayu Cekak Musang, baju ni ada lima butang kan? lima butang tu sebenarnya mewakili lima Rukun Islam. Pertama Syahadah, kedua solat, ketiga puasa, keempat zakat dan kelima haji.”
Pertautan antara fesyen dan reka bentuk jahitan dengan simbol makna turut dimasukkan dalam cerpen ini melalui dialog yang lain:
“Seriuslah… haaa… kalau untuk Baju Melayu Teluk Belanga yang macam kau suka pakai tu pula, dia ada satu butang sahaja bukan? atau kalau yang jenis tak ada butang, orang akan pakai kerongsang untuk butangkan baju ini. Kau tahu tak, satu butang tu maknanya apa?
“Apa maknanya?”
“Satu butang tu membawa makna tauhid.”
Kejadian berkata-kata ini merujuk pada perbualan tentang pandangan watak dalam cerpen ini yang melihat fesyen bukan sekadar fesyen. Samalah seperti pelukis yang melihat warna bukan hanya sebagai warna yang cantik, tetapi turut mempunyai pengertian makna yang tersendiri.
Selain itu, antara keunikan masyarakat Melayu ialah perkaitan budayanya dengan agama yang dianuti. Di Malaysia, satu ciri khusus telah ditambah untuk menerangkan konsep Melayu; iaitu agama Islam. Istilah Melayu menurut Perlembagaan Malaysia ialah manusia yang menuturkan bahasa ibunda, mengamalkan cara hidup Melayu dan menganut agama Islam. Berdasarkan pengertian tersebut, konsep Melayu akhirnya berfungsi sebagai nama kolektif yang merujuk kepada satu kesatuan bahasa dan bangsa, iaitu bahasa Melayu dengan bangsanya; bangsa Melayu.
Oleh itu, dalam pola budaya masyarakat Melayu, syariat Islam menjadi tiang atau teras kepada sistem budaya dalam kehidupan. Dialog yang dituturkan menghadirkan pemikiran dan bentuk pola budaya masyarakat Melayu yang wujud melalui watak Siddiq dan Khairi yang digambarkan dalam cerpen ini. Watak dalam cerpen ini mahu baju Melayu menjadi kebanggaan yang turut dihargai oleh bangsa lain seperti melalui watak Dato’ Lee Chong Wei yang memakainya semasa beliau membawa Jalur Gemilang dalam temasya Sukan Olimpik. Perkara tersebut turut dimasukkan oleh pengarang melalui dialog antara watak Khairi dan Siddiq.
Dengan menggunakan dialog-dialog yang mempunyai unsur humor antara dua orang sahabat, Asyraff Jamin memaparkan simbol budaya masyarakat Melayu. Secara tidak langsung, dalam seni berpakaian pun masyarakat Melayu menjadikan bentuk sistem sosiobudaya yang diikat oleh norma dan syariat Islam dalam semua aspek kehidupan. Dalam cerpen berkenaan turut dipaparkan tentang falsafah penggunaan songkok dan samping yang melengkapkan seni berpakaian baju Melayu.
Biarpun dari aspek pengisian dan elemen ilmu budaya yang diterapkan oleh pengarang dalam cerpen ini memberikan nilai dan kesan, namun binaan plot cerpen ini agak mendatar apabila konflik tidak menanjak untuk mencapai takah klimaks yang akan memberikan keterujaan kepada pembaca. Dalam erti kata lain, konflik dalam cerpen ini tidak jelas. Pembaca seolah-olah ditempelkan dengan maklumat melalui perbualan watak Khairi dan Siddiq. Hanya ada satu konflik, iaitu untuk memberi kesedaran kepada Siddiq untuk tidak ‘menindih-nindih’ budaya Melayu dengan budaya masyarakat lain. Konflik tersebut seolah-olah sudah terlerai pada pertengahan cerpen apabila Siddiq sudah maklum akan kesilapannya. Di sanalah kelemahan yang perlu dibaiki oleh pengarang supaya membina plot yang bergerak hingga ke penghujung cerpen.
Selain itu, perwatakan dalam sesebuah cerpen sering kali dibangunkan dengan krisis emosi yang dialami oleh watak. Karya-karya besar yang dihasilkan oleh sasterawan terkemuka memainkan aspek kejiwaan untuk menganjakkan mutu karya mereka. Perkara inilah yang perlu dilakukan oleh Asyraff Jamin supaya watak dalam cerpennya tidak hanya mempunyai pertentangan dari segi idea sahaja. Aspek kejiwaan watak perlu dimasukkan agar cerpen ini menjadi lebih menarik.
Antara kelebihan yang ada pada Asyraff Jamin sebagai pengarang ialah pengolahan bahasanya yang baik. Cerpen ini digerakkan dengan gaya bahasa yang lincah sehingga peristiwa terasa pantas berlaku. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kesilapan bahasa yang terlepas pandang oleh pengarang sebelum dihantar kepada editor. Antara kesilapan tersebut ialah dari aspek ejaan, iaitu perkataan ‘ramadhan’ yang sepatutnya ditulis ‘ramadan’, perkataan ‘maghrib’ sepatutnya ‘Maghrib’ dan ‘Baju Melayu teluk belanga’ sepatutnya ditulis ‘Baju Melayu Teluk Belanga’ kerana itu merupakan kata nama khas. Pengarang juga kerap kali menggunakan empat titik yang boleh ditukar dengan menggunakan satu titik sahaja sebagai tanda noktah. Walaupun ini bukan merupakan satu kesalahan tetapi penggunaannya yang kerap boleh mengganggu pembacaan.
Kesilapan lain yang dilakukan oleh pengarang ialah:
- “Apa benda yang menarik sangat kau nak tunjuk?” Siddiq menghulurkan telefon pintarnya kepada Khairi.
Dialog tersebut diucapkan oleh Khairi. Oleh itu, ayat ‘Siddiq menghulurkan telefon pintarnya kepada Khairi’ sepatutnya diletakkan dalam perenggan baharu.
Secara keseluruhannya, cerpen “Jangan Ditindih-tindih” (mungkin tajuk ini boleh diubah dan difikirkan kesesuaiannya yang lain) tetap merupakan sebuah cerpen yang baik. Kupasan yang dibuat hanyalah untuk meningkatkan lagi kualiti cerpen berkenaan. Semua penulis sama ada penulis baharu atau penulis yang sudah mapan tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Pembacaan yang berterusan dan ketekunan untuk menghasilkan karya yang baik, pasti akan mampu melonjakkan kualiti karya ke satu tahap yang membanggakan.
Kepada Asyraff Jamin, anda ialah penulis yang menjanjikan dalam peta penulisan di Sarawak. Teruskan usaha untuk melakarkan nama dalam landskap pengkaryaan.