Tabung Kasih@HAWANA X TM bantu dua rakan media di Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
DATUK Abdul Halim Hamzah menyampaikan sumbangan Hawana kepada Jaed Tepus. Foto BERNAMA

KUCHING: Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada petugas Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jaed Tepus, ketika menziarahi beliau di kediamannya di sini.

Jaed, 60, yang bertugas sebagai jurugambar UKAS, menghidap kanser usus sejak Februari lepas.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain.

Abdul Halim berkata lawatan itu bertujuan menyantuni pengamal media sama ada masih berkhidmat atau veteran yang berdepan pelbagai masalah khususnya berkaitan kesihatan.

“Lawatan ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan pengamal media terus diberi perhatian dan mereka sentiasa disantuni,” katanya kepada pemberita selepas lawatan itu.

Jaed mula berkhidmat di UKAS pada 2023 selepas berkhidmat di Jabatan Penerangan Sarawak dari 2012 hingga 2023 serta Filem Negara Malaysia dari 1993 hingga 2012.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata sejak Tabung Kasih@HAWANA diperkenalkan pada 2023, seramai 46 pengamal media di Sarawak telah menerima bantuan menerusi inisiatif itu.

Beliau berkata melalui kerjasama Tabung Kasih dengan Telekom Malaysia (TM) pula, seramai enam pengamal media di Sarawak telah menerima sumbangan sejak inisiatif berkenaan dilancarkan pada 20 Jun lepas.

“Kami turut menjalinkan kerjasama dengan kelab media negeri bagi membantu memberikan kita maklumat mengenai rakan media atau veteran yang diuji dengan masalah kesihatan atau kesukaran hidup,” katanya.

Dalam lawatan berasingan, Nur-ul Afida turut menyampaikan sumbangan kepada Koresponden Wilayah TV3, Kadir Edison, 44, bagi membantu menampung kos perubatan isterinya yang memerlukan rawatan akibat diabetes dan jangkitan di paru-paru.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) TM bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

Menerusi peruntukan yang mula disalurkan pada Jun 2026 itu, seramai 34 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.

Sejak diperkenalkan pada April 2023, seramai 800 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA, yang merupakan inisiatif oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama. – Bernama