
MIRI: Tabung Darah Hospital Miri menjemput pelbagai pihak termasuk badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, pusat beli-belah serta organisasi lain untuk bekerjasama sebagai penganjur Kempen Derma Darah bagi memastikan bekalan darah hospital sentiasa mencukupi.
Menurut kenyataan Tabung Darah Hospital Miri, kerjasama strategik ini bukan sahaja dapat membantu memenuhi keperluan darah untuk kes kecemasan dan pembedahan, malah turut menyokong pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memupuk semangat kerjasama dan keprihatinan dalam komuniti setempat.
Orang ramai atau organisasi yang berminat untuk menempah slot penganjuran kempen derma darah boleh menghubungi Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Tabung Darah Hospital Miri, Norazila Jimlun menerusi WhatsApp atau talian pejabat di 085-416657 atau 085-420033 sambungan 533 atau 536.
Tabung Darah Hospital Miri berharap lebih banyak pihak tampil menjadi ‘wira di sebalik tabir’ dengan menyokong penganjuran kempen derma darah demi menyelamatkan nyawa dan kesejahteraan para pesakit.
Oleh Adum Liu