SIBU: Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memainkan peranan yang amat signifikan dalam menyediakan platform pendidikan awal yang holistik dan berkualiti, sesuai dengan keperluan pembangunan fizikal, mental, emosi dan sosial anak-anak.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau berkata, melalui aktiviti pembelajaran yang kreatif dan inovatif, anak-anak bukan sahaja diberikan ilmu asas seperti membaca, menulis dan mengira, tetapi juga nilai-nilai murni seperti disiplin, hormat-menghormati dan kebersamaan.
Menurutnya, semua ini penting untuk melahirkan individu yang seimbang dan berdaya saing di masa hadapan.
“Kerajaan juga sentiasa menyokong inisiatif pendidikan awal seperti ini kerana kami percaya bahawa melabur dalam pendidikan awal bermakna kita melabur untuk masa depan negara.
“Generasi muda inilah yang kelak akan menjadi pemimpin, tenaga kerja mahir, dan peneraju negara dalam bidang masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Sulit Stanley Chew mewakilinya merasmikan Majlis Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika KEMAS P.211 Lanang Bagi Tahun 2024, hari ini.
Lau yang juga Ahli Parlimen Lanang berkata, Kerajaan MADANI sentiasa prihatin terhadap bebanan rakyat dan berusaha meringankan kesulitan yang dihadapi masyarakat.
“Oleh itu, kerajaan pun sudah mengesahkan bahawa tidak berlaku kenaikan yuran Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) kendalian KEMAS bagi sesi persekolahan tahun depan,” katanya.
Beliau menyeru agar agar masyarakat terus memberikan sokongan kepada program pendidikan awal kanak-kanak Tabika KEMAS kerana pendidikan adalah asas kemajuan sesebuah masyarakat.
Sementara itu, Pegawai KEMAS Bahagian Sibu Ami Fariza Mat Jusoh berkata, sebanyak 36 daripada 39 buah kelas Tabika KEMAS dengan seramai 272 orang kanak-kanak berumur 6 tahun yang bakal melangkah masuk ke Tahun Satu akan menerima sijil dan hadiah pada majlis tersebut.
“Sementara itu, seramai 385 orang pula berumur 4 dan 5 tahun dan jumlah keseluruhannya adalah 657 orang mengikut data Enrolmen pada tahun ini,” ujarnya.
Katanya, penganjuran majlis tersebut untuk membawa ibu bapa atau penjaga lebih dekat apa yang berlaku anak-anak mereka di tabika.
Oleh Akun Giman