TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak telah menjadikan Tanjung Manis sebagai Tanjung Manis Economic Growth Area (T-MEGA).
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, di antara industri yang ditekankan selain industri perkayuan yang diasaskan pada permulaan pembangunan Tanjung Manis pada tahun 1990-an, ialah industri pembinaan dan pembaikan kapal, industri bersasaskan kelapa sawit, perikanan, aktiviti pertanian dan penternakan ikan termasuk aktiviti pemprosesan makanan halal.
“Bertepatan dengan adanya aktiviti pertanian secara besar-besaran, Tanjung Manis berpotensi dipromosikan sebagai pusat pengeluaran makanan untuk pasaran domestik dan luar negara.
“Selain agenda membangunkan perusahaan secara besar-besaran dalam industri tersebut, agenda lebih besar ialah inisiatif pembangunan luar bandar untuk kebaikan rakyat tempatan memandangkan ‘spin-off’ daripada projek mega ialah peluang-peluang perniagaan, penyertaan dalam aktiviti pertanian, penjanaan peluang-peluang pekerjaan dan taraf kualiti hidup yang lebih tinggi seperti mana yang dinikmati oleh penduduk di bandar,” katanya di Majlis Sesi Penyerahan Surat Kelulusan Prinsipal Untuk Pemberimilikan Tanah Kepada Penduduk Lapan Buah Rumah Panjang Kampung Tusok, Sebayang dan Tanjung Manis, bertempat di Dewan IKS, Kompleks Industri Perabot Pusaka, pagi semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) berkata, bagi menarik pelaburan ke Tanjung Manis, sejak 1990 hingga kini, pihak kerajaan telah membelanjakan RM3.19 bilion untuk membangun infrastruktur bagi menyokong industri-industri yang dirancangkan untuk Tanjung Manis.
“Banyak telah kita lakukan dan banyak lagi yang perlu dilakukan. Justeru, dalam 5 tahun yang akan datang dianggarkan kita perlukan sejumlah RM989.3 juta pembiayaan daripada kerajaan dan juga pihak swasta bagi melaksanakan projek-projek yang dicadangkan.
“Projek tersebut ialah Integrated Paloh Marine Engineering Park & Access Road (dengan utiliti dan kemudahan) RM397.3 juta , pengerukan saluran navigasi Kuala Rajang RM200 juta , Tanjung Manis Furniture Park (RM12 juta) , Taman Perindustrian Pemprosesan Makanan (infra asas) bernilai RM65 juta ; menaik taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis kepada Code3C (B737) berjumlah RM300 juta , Controlled Environment Agriculture (CEA) untuk Cash Crops bernilai RM15 juta dan penyediaan Pusat Semaian Benih Buluh bernilai RM5 juta,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, pihak kerajaan telah mengenalpasti industri buluh sebagai salah satu industri yang perlu diceburi sebagai penjana pendapatan negeri.
“Dengan itu PUSAKA telah diamanahkan untuk membangun industri buluh bagi mengurangkan kebergantungan kepada kayu balak sebagai sumber bahan mentah untuk industri perkayuan.
“Sebagai permulaan, seluas 8,000 hektar ladang buluh komersial serta 800 hektar ladang buluh komuniti di wilayah tengah akan diusahakan sehingga tahun 2027.
“Dari keluasan tersebut, dijangka 264,000 ton batang buluh dapat dihasilkan untuk digunakan oleh produk nilai tambah seperti Bio-Char, Cips buluh, tektil lantai, kraftangan dan sebagainya. Untuk makluman melalui usahasama PUSAKA dan Subur Tiasa Holding Berhad, sebuah Kilang Bio-Char akan ditubuhkan di Nanga Dap, Sibu awal tahun depan,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, setakat ini jumlah pelaburan di T-MEGA ialah RM1.4 bilion dan sejumlah RM803.5 juta dicadangkan untuk dilaksanakan hingga 2026.
Turut diadakan dimajlis yang sama ialah penyampaian benih nenas dan benih buluh serta majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PUSAKA Food Industry Sdn Bhd dan Zebu Catle Sdn Bhd.
Oleh EARL ANEK