
Dominik Szoboszlai (kiri) menjaringkan gol kemenangan Liverpool. Foto AFP
LIVERPOOL: Sepakan percuma menakjubkan Dominik Szoboszlai pada minit ke-83 menjadi pemisah dalam pertembungan dua pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila Liverpool menewaskan Arsenal 1-0 di Anfield.
Perlawanan yang penuh taktikal dan tegang itu seakan berakhir tanpa jaringan, sebelum pemain tengah Hungary itu meledak dari jarak 25 ela, menyaksikan bola meluncur masuk menerusi tiang kanan gol untuk memastikan Liverpool kekal sebagai satu-satunya pasukan dengan rekod 100 peratus selepas tiga perlawanan.

Ini juga adalah kemenangan ketiga berturut-turut yang diraih menerusi jaringan lewat permainan selepas kemenangan dramatik ke atas Bournemouth dan Newcastle.
Dengan pemain seperti Florian Wirtz, Mohamed Salah, Cody Gakpo dan Hugo Ekitike, Liverpool kekal pasukan yang perlu ditewaskan.
Malah, mereka dijangka mengukuhkan skuad lagi sebelum jendela perpindahan ditutup dengan sasaran termasuk penyerang Alexander Isak dan kapten Crystal Palace, Marc Guehi.
Arsenal, yang membelanjakan lebih 250 juta pound (RM1.42 bilion) musim ini untuk memburu kejuaraan pertama sejak 2004, dilanda pelbagai masalah dalam aksi ini.
Tanpa Bukayo Saka dan Kai Havertz yang cedera, barisan serangan kendalian Mikel Arteta tampak tumpul. Viktor Gyokeres, yang ditandatangani dari Sporting Lisbon, gagal mencabar gandingan pertahanan Liverpool yang diketuai Virgil van Dijk.

Malah, mereka turut kehilangan tonggak pertahanan William Saliba seawal minit ke-5 akibat kecederaan, digantikan oleh Christhian Mosquera.
Walaupun jentera serangan Liverpool masih kelihatan belum serasi sepenuhnya, Arsenal turut gagal memanfaatkan kelemahan itu.
Pemain kontroversi, Noni Madueke, yang mengisi kekosongan ditinggalkan Saka, menjadi ancaman terbesar Arsenal namun kurang tajam di depan gawang.
Milos Kerkez, yang bergelut sejak tiba di Anfield, beberapa kali ditewaskan dalam situasi satu lawan satu, termasuk satu rembatan Madueke yang diselamatkan secara terdesak.
Liverpool sebenarnya menjaringkan gol pada minit ke-60 namun dibatalkan oleh VAR selepas Gakpo dikesan ofsaid sebelum insiden huru-hara melibatkan David Raya, Wirtz dan Ekitike.
Namun begitu, detik itu menaikkan semangat Anfield sebelum Szoboszlai muncul wira.
Arsenal sempat menuntut sepakan penalti selepas Joe Gomez mengasari Eberechi Eze, namun rayuan itu tidak dilayan. – AFP