Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Syor perjalanan rombongan pelajar universiti hanya pada waktu siang
  • TEMPATAN

Syor perjalanan rombongan pelajar universiti hanya pada waktu siang

Utusan Sarawak 2 days ago
ORANG ramai melihat keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan ngeri mengorban nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Cadangan supaya perjalanan rombongan pelajar universiti dihadkan pada waktu siang wajar diperhalusi susulan kemalangan bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Nurrul Hafeezah Sahak berkata langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan dan mengelak kejadian sama berulang.

“Jarak penglihatan pada waktu malam terbatas akibat pencahayaan yang kurang baik selain risiko pemandu mengantuk kerana malam adalah waktu badan berehat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semalam yang memaklumkan kementerian menerima pelbagai syor, termasuk cadangan mengehadkan perjalanan pelajar universiti kepada waktu siang sahaja.

Media turut melaporkan 28 penumpang termasuk 13 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terselamat selepas bas dinaiki melanggar belakang treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur tengah malam Isnin. 

Dr Nurrul Hafeezah turut menekankan pentingnya pemilihan syarikat pengangkutan awam yang mempunyai rekod keselamatan baik, yang lazimnya menyediakan pemandu terlatih dan kenderaan diselenggara rapi.

“Penggunaan tali pinggang keledar juga perlu diberi perhatian kerana ia mengurangkan risiko kecederaan serius semasa kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Penyelidik Utama di Pusat Penyelidikan Pemanduan Bijak, Dr Kamarudin Ambak berkata syarikat bas perlu memastikan pemandu memiliki tahap kesedaran keselamatan yang tinggi serta menganggap penumpang sebagai ahli keluarga sendiri.

“Pelajar tidak dapat mengawal keadaan kerana terikat dengan jadual dan perjalanan bas. Kadangkala pelajar sudah menegur pemandu yang memandu secara agresif, namun ada pemandu yang tidak mengendahkan teguran tersebut atau sekadar mendengar tanpa memberi perhatian yang serius,” katanya.

Beliau berkata kemungkinan pemandu cuba mengejar masa perjalanan yang lebih singkat kerana mempunyai komitmen ‘trip’ lain, terutamanya bagi bas yang menerima tempahan khas. Justeru, perkara seperti ini perlu diteliti semula, bukan sahaja di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi juga dalam pengurusan bas oleh pihak pengangkutan awam. 

Pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu turut menyarankan agar pemandu yang melakukan perjalanan jauh diberikan masa rehat yang mencukupi memandangkan pemanduan jarak jauh memerlukan masa dan tenaga yang banyak.

“Dahulu terdapat pemandu kedua atau ‘co-pilot’, namun kini kebanyakan syarikat tidak lagi menyediakannya, menyebabkan hanya seorang pemandu bertugas. Bayangkan jika perjalanan itu jauh, ditambah pula dengan perjalanan sebelumnya, pastinya pemandu mengalami keletihan. Ini menjejaskan keupayaan tenaga dan kesiapsiagaan pemandu untuk mengendalikan bas dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Dr Ng Choy Peng berkata tahap kompetensi pemandu bas serta waktu bekerja yang sesuai bagi perjalanan jarak jauh perlu diberi perhatian.

“Saya amat berharap pihak berkuasa dapat menguatkuasakan undang-undang bagi mengawal waktu operasi bas persiaran, masa bekerja pemandu bas komersial serta memastikan pemandu tidak bersikap agresif dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas dan memperketat proses pengendalian lesen memandu bagi pemandu komersial, susulan pemandu bas yang terlibat dalam tragedi pelajar baru-baru ini didapati mempunyai 18 saman, termasuk 13 saman atas kesalahan memandu laju.

“Kita mempunyai sistem demerit, namun ia seolah-olah tidak dikuatkuasakan. Jika ikut sistem itu, pemandu yang mempunyai saman sebanyak itu sepatutnya sudah lama digantung lesen memandunya,” katanya.

-Bernama

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Padawan kukuh kerjasama komuniti tempatan, perkasa pelancongan
Next: RM27.4 juta bangunkan sektor pelancongan DUN Kabong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.