AZREEN KERIA
KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Santubong, Dato Sri Wan Junaidi Jaafar menyerahkan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menentukan kedudukannya.
Ini di sebalik ura-ura yang tersebar luas sejak beberapa hari lalu bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) itu dijangka memberi laluan kepada muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November nanti.
Malah, Setiausaha Politik Wan Junaidi, Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie ketika dihubungi sebentar tadi enggan menafi atau mengesahkan khabar angin yang dirinya mungkin dicalonkan untuk kerusi Parlimen Santubong.
“Tunggu Premier (Abang Johari) buat pengumuman,” kata Wan Junaidi ringkas ketika ditanya Utusan Sarawak mengenai khabar angin beliau bakal berundur.
Sementara itu, Syed Hamzah yang juga Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut, juga enggan mengulas lanjut sama ada menafi atau mengesahkan ura-ura yang tersebar itu.
“Sebagai ahli parti PBB, saya menyerahkan kepada Presiden (PBB) dan Premier Sarawak (Abang Johari) untuk membuat keputusan,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Satu lagi nama disebut-sebut sebagai calon berpotensi untuk kerusi Parlimen Santubong ialah Ketua Penerangan PBB Samariang, Datuk Wan Khalik Wan Muhammad.