Syed Azman, Ayob Khan antara penerima Anugerah Maulidur Rasul 2026

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Wira Negara kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. Foto BERNAMA

SERDANG: Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Westar Group Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim diumumkan sebagai penerima anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2026.

Pengikitirafan itu diberikan kepada Syed Azman atas pencapaian Weststar dalam menyediakan lebih 40 helikopter untuk operasi minyak dan gas, serta mencerminkan dominasi beliau dalam sektor penerbangan sokongan tenaga, serta kedudukan Weststar sebagai penyedia utama di rantau Asia Pasifik.

Selain itu, Syed Azman juga terlibat secara aktif dalam pelbagai inisiatif kebajikan, merangkumi pembangunan infrastruktur komuniti, bantuan bencana, sokongan kepada rumah anak yatim, pembinaan dan penyelenggaraan surau serta masjid di beberapa kawasan, dan program kebajikan setempat.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul kepada Pengasas Kumpulan Weststar Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. Foto BERNAMA

Banyak inisiatif itu dijalankan secara senyap tanpa publisiti, selari dengan pendekatan Syed Azman yang lebih suka bekerja di belakang tabir.

Anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menerima Anugerah Maulidur Rasul bagi kategori Tokoh Wira Negara, atas jasanya semasa bertugas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), antaranya mematahkan banyak sel pengganas dan rangkaian militan antarabangsa serta tempatan di dalam negara dengan cekap.

Ayob Khan berkata anugerah yang diterimanya ialah satu pengiktirafan kepada pasukan PDRM dalam konteks pengorbanan negara.

Penerima Anugerah Maulidur Rasul yang lain ialah guru agama Abdul Hamid Chin (Tokoh Agamawan); Ketua Unit Perkhidmatan OKU, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Ruzita Mohd Amin (Tokoh Wanita MADANI); dan bekas Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif).

Penerima Anugerah Maulidur Rasul yang lain ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (Tokoh Belia Harapan); pesara buruh Laman Yasim (Tokoh Keluarga Mithali); dan pempengaruh media sosial Muhammad Mikhael Sathyah yang menerima Tokoh Khas (Saudara Baru Cemerlang). – Bernama

Internet berpagar diperluas ke premis awam, IPTS

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor merancang memperluas perkhidmatan ‘Internet berpagar’ ke premis awam