SIBU: Sambutan Aidilfitri kali ini disambut dengan penuh kesyukuran apabila dua wanita warga emas dari Kampung Seduan Jaya mendapat rumah baharu.
Imah Man,70, kini dapat tinggal dengan lebih selesa bersama lapan ahli keluarganya yang lain di rumah baharu mereka yang kini telah siap dibina oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Program Jiwa Murni.
“Ini merupakan berkat keprihatinan wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee dan pihak bomba yang membantu membina rumah ini,” jelasnya kepada pemberita.
Katanya, mereka sekeluarga kini tidak lagi bimbang tinggal di rumah lama yang dimasuki banjir sedalam hingga ke paras paha.
“Kadang-kadang binatang bahaya seperti ular dan kala jengking naik ke rumah,” ujarnya.
Sementara itu, anaknya melahirkan perasaan gembira dapat beraya di rumah baharu.
“Cuma kami merasa terkilan arwah ayah telah meninggal semasa rumah ini sedang dalam proses,” jelasnya.
Senada dengan itu, Mastura Jahan,54, turut melahirkan perasaan gembira kerana dapat tinggal di rumah baharu bersama 12 ahli keluarga termasuk anak, menantu dan cucu.
“Terima kasih kepada wakil rakyat kami Dr Annuar yang amat prihatin dan pihak bomba kerana telah membantu tidak kira cuaca panas dan hujan membina rumah ini,” ujarnya.
Majlis Penyerahan Rumah Bina Baru kepada dua keluarga di Kampung Seduan Jaya, petang tadi, telah disempurnakan oleh Dr Annuar yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Turut hadir, Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman@Hussaini, Ketua JBPM Zon Sibu Andy Alie serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN