Oleh: Elwee Fred
DARI tadi matanya melilau ke luar jendela. Jam di dinding dikerling berkali-kali. Kerutan di dahi tidak dapat menyembunyikan rasa gelisah di lubuk atma. Kain langsir baharu yang dibeli sempena Syawal yang menjelma menari gemalai seiring tiupan angin kampung yang cuba menyejukkan suasana. Loceng jam berbunyi tepat menyentakkan dua jiwa yang dilanda buncah. Jam di dinding menunjukkan jam 10 malam. Masa yang cukup lewat untuk kedua-dua pasangan itu. Wanita tua itu mengeluh perlahan. Kepalanya ditolehkan ke arah meja makan yang sudah tersedia juadah untuk hari esok. Masih lengkap berbalut plastik dan belum berbuka sama sekali kerana untuk anak-anaknya yang jauh di perantauan. Tapi yang dinanti tidak kunjung tiba. Tidak ada panggilan telefon mahupun mesej ringkas memberitahu keberadaannya. Hati ibu mana yang tidak sakit apabila anak seakan berpaling tadah daripadanya, mengutamakan tugas dunia daripada tugas hakiki seorang anak.
Lelaki tua itu mengatur langkah ke arah sang buah hati. Dia juga terkurung dalam penjara masalah yang tidak diketahui jalan keluarnya. Segala macam rasa bercampur menjadi satu. Kalau diproses perasaannya ketika ini, cukup untuk mengalahkan Secukup Rasa Adabi yang selalu digunakan oleh isterinya. Apakan daya, mungkin dia perlu melempar fakta itu ke alam nyata. Takut angan-angan setinggi langit, tapi jatuh semula ke dunia realiti. Reda dengan ketentuan yang diberikan. Dia juga rindu tapi tidak mungkin ditunjukkan kepada isterinya.
“Sudahlah tu, Ila. Mungkin, esok adalah tu. Malam dah terlalu lewat. Jangan kau kabutkan lagi malam yang sudah sedia gelap. Kesihatan kau tu penting juga. Mari kita sempatkan diri untuk pejamkan mata.”
Wanita tua itu mendongakkan kepala cuba menelaah raut wajah suaminya yang terkesan tenang. Wanita tua itu mengangguk membetulkan kata suaminya. Mungkin, esok balik juga anak-anaknya. Mungkin sahaja. Terlalu banyak mungkin sampai tidak ditemui yang betulnya. Di kampung itu hanya mereka berdua. Sebelum ini bertujuh. Dikurniakan 5 orang cahaya mata, 3 lelaki dan 2 perempuan. Yang sulung lelaki diikuti oleh anak perempuannya. Yang ketiga pula perempuan juga, kemudian lelaki dan si bongsu juga lelaki. Berkat usaha suaminya, semuanya berjaya menyarung topi ijazah. Orang kampung sentiasa memuji keluarga mereka sebab berjaya melahirkan anak kampung yang berpendidikan meskipun kedua-duanya tidak berpeluang menimba ilmu. Ada peluang pun, apakan daya tali timbanya putus di tengah-tengah. Sudah putus, dibiarkan begitu sahaja. Ibu bapa dahulu dan sekarang jauh bezanya. Kalau dahulu, kau bermain di hujung kampung balik kotor-kotor kau akan dimarah tapi mahu buat macam mana. Sudah kehidupan orang kampung seperti itu. Haus akan ilmu pada zaman dahulu tidak sama seperti zaman sekarang. Dulu-dulu kalau tahu menternak, berburu, memancing dan sebagainya, kau sudah cukup bijak dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Asalkan kau tahu menyara hidup sendiri. Kaya dahulu dan kaya sekarang berbeza. Dahulu kaya itu apabila keluarga itu memiliki tanah yang banyak, kebun yang memberikan hasil, ternakan yang banyak dan rumah yang besar. Sekarang, kaya diukur pada tebal dan nipisnya dompet kecilmu atau seberapa banyak kad yang dipegang. Benarlah kata orang, yang putih belum tentu baik, yang hitam belum tentu buruk. Hidup berkerjaya inilah yang mencipta jurang antara mereka sehingga setahun boleh dikira berapa kali mereka menjejakkan kaki di rumah kampung itu. Daripada 5 orang, mungkin 3 atau 4 atau seorang sahaja. Itupun, datangnya pagi, pulangnya malam. Kadang-kadang, setakat melabuh punggung menghangatkan tangga rumah yang dingin kemudian kembali lagi ke kota sebab urusan kerja tidak berkesudahan. Bukan mahu mengeluh pada keadaan, tapi itulah realitinya. Anak-anak terkapai-kapai mencari duit yang datangnya lambat tapi perginya cepat.
Dalam kamar usang itu, masing-masing memasang mata ke siling. Pasangan tua itu tidak dapat melelapkan mata walau sepicing pun. Berkali-kali wanita tua itu memejamkan mata. Sama halnya dengan lelaki tua itu. Tetapi, masih sahaja tercelik. Kedudukan mereka sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, sekejap ke hadapan. Resah dengan nasib bulan Syawal kali ini. Mata mereka mungkin tertutup tapi otak mereka pasti masih ligat berputar seiring dengan putaran kipas siling. Setiap bilah kipas yang berputar ditelusuri oleh mata layu itu. Matanya makin berat tetapi sel-sel otak tua masih berhubung ketika ini. Satu keluhan lemah dilepaskan wanita tua itu.
“Tidurlah, Ila. Tak baik tidur lewat sangat. Kau tu ada masalah jantung. Abang yakin, esok pulanglah mereka berlima itu. Kau jangan risaulah.” Perlahan suara lelaki tua itu menenangkan isterinya. Angin malam mula membelai langsir menunjukkan suasana malam akan mulai dingin. Bunyi alam sahut-sahutan tidak mampu menghilangkan rasa resah yang bertapak di lubuk atma.
“Ila bukan apa bang, anak-anak kawan Ila semua dah balik. Ada yang doktor, pun dah balik. Anak kita sibuk sangat macam dia yang jaga negara.” Siku diletakkan di atas kepala, rungsing dengan hatinya yang bergelora sejak tadi.
Lelaki tua itu mengeluh perlahan kemudian memusingkan badan membelakangi isterinya sebagai tanda ingin mengakhiri perbahasan tersebut. Kalau dijawabnya lagi, sampai esok tidak jumpa penamatnya. Wanita tua itu menoleh sekilas ke arah suaminya kemudian turut sama memusingkan badan membelakangi suaminya. Hari itu malam terasa sangat panjang seperti pagi enggan muncul lagi.
“Ila, telefon bunyi.” Jerit lelaki tua itu dari beranda rumah. Tangannya masih setia menjahit pukat yang koyak. Disusun elok-elok perangkap ikan dan ketam yang menjadi punca rezeki mereka selama ini. Hasil ketam dan ikan itu jugalah yang menghidupkan mereka sekeluarga. Ada hasil banyak, dijual kepada orang kampung. Kalau hasil sikit, dibahagikan pula kepada jiran terdekat. Di bawah kolong nasib, dia cuba mencari secebis remah untuk menghilangkan rasa dahaga dan lapar yang melanda. Orang susah memang macam itu. Asalkan dapat seringgit, sudah mampu melakar senyuman syukur ke hadrat ilahi. Teringat pula anaknya yang sulung. Kalau sudah bab-bab harga, memang anaknya yang sulung paling tegas.
“Abah, RM10 sekilo? Rugilah, Abah.” Marah anaknya yang sulung apabila mengetahui dia menjual ketam pada harga termurah bagi anaknya. Harga ketam di pasar pasti mencecah puluhan ringgit. Padahal, tidaklah segar sangat. Ada yang sudah memucat warna ketamnya sebab terlalu lama dalam peti ais. Ada yang berbau dan ada yang luarnya sahaja nampak besar, dalamnya kurus kering. Tetapi, harganya sangatlah mahal bagi golongan marhaen.
“Tak mengapa. Orang kampung. Bukan semua ada duit. Esok-esok mereka kaya, Abah naikkan 2 Ringgit.” Begitu sahaja jawapannya setiap hari. Si anak pula akan menyambut jawapan ayahnya dengan gelengan kecewa atau bebelan panjang yang membanding-bandingkan harga pasar dengan harga yang diberikannya. Dia tersenyum kecil apabila cebisan memori itu perlahan bertapak ke kepala tuanya. Mungkin sudah bercambah sebab hatinya mula meresapi memori itu. Mata tuanya juga mula membentuk kolam kecil yang bila-bila masa akan tumpah. Dia tersenyum dan menggeleng kepala perlahan, enggan melayan lintasan fikiran. Lehernya memanjang cuba mencuri tengok kelibat isterinya yang masih bercakap di talian telefon. Dahinya berkerut seribu. Arus modenisasi yang mengubah landskap kampung itu menjadikan rumahnya yang dahulu di hujung kampung, kini bersebelahan dengan jalan raya. Kenderaan pelbagai rupa dan bentuk bertali arus membelah kampungnya itu. Bunyi deruman enjin yang kuat itu memaksa kepala tuanya untuk menoleh dan melihat siapakah gerangan pembawa mesin empat roda itu. Lelaki tua itu menggeleng lemah kemudian memanjangkan lehernya lagi melihat kelibat isterinya. Masih bergayut di telefon.
“Abang, anak kita tak dapat balik. Kereta rosak, yang lain pula ada appointment penting, offshorelah apa entah.” Tiba-tiba wanita tua itu sudah duduk bersimpuh di samping suaminya. Suaranya tertahan-tahan tapi dia gagahi juga untuk bercerita. Bagaikan batu besar menimpa kerongkongnya ketika ini. Butir mutiara mula menghiasi tubir mata yang kuyu itu.
Lelaki tua itu terkejut dengan penampilan tiba-tiba daripada isterinya tetapi mula tertunduk mendengar penjelasan isterinya. Patutlah pagi ini kopinya terasa ada yang tidak kena. Pahit semacam sedangkan selama ini kopinya harum sahaja di inderanya. Rupanya lidahnya itu tidak sehaluan dengan hatinya. Kepala ditundukkan. Takut ego kelelakiannya terlihat oleh si isteri. Dia mengambil tuala kecil yang diikat di tepi kerusi kayu buatannya. Dibawa pula tuala itu ke arah wajah tuanya. Perlahan jari tuanya mengesat kedegilan air mata yang berpusu-pusu keluar dari tubir matanya.
“Apa boleh buatlah, Ila. Bukan mereka yang nak. Kita pasrahkan sahajalah. Raya bukan sekali.” Lelaki tua itu mengusap lembut bahu isterinya yang sudah menangis teresak-esak. Tapi getaran di suaranya tidak dapat disembunyikan. Air mata wanita tua itu dilap dengan penuh kasih sayang.
“Yalah, bang. Ila masuk dahulu. Takut Kuih Bahulu Ila, hangus.” Sambil mengelap sisa air mata, wanita tua itu menguatkan diri untuk meneruskan perjuangannya di dapur. Bibirnya cuba melengkung memberikan senyuman termanis kepada suaminya. Tidak ingin garis sedih menghiasi wajahnya. Sudah masak banyak-banyak. Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang sudah masak, teruskan. Niatnya ingin makan bersama anak-anak. Nampaknya raya berdua lagilah kali ini. Gumam hati kecilnya.
“Samad, anak engkau tak balik?” sapa satu suara yang cukup dikenali oleh lelaki tua itu. Dia tidak perlu menoleh. Dia tahu gerangan suara itu. Tangannya pantas mencapai perangkap ketam yang putus talinya. Melayan sebabak drama hatinya yang gundah-gulana mungkin akan menjadi batu penghalang untuknya bergembira di hari lebaran. Tapi mampukah dia bergembira? Rumah kecil itu terasa besar sebab tidak ada keriuhan anak-anaknya yang akan berebut-rebut mendapatkan perhatian isterinya, Ila. Kalau tidak berebutkan Kuih Bahulu, mesti berebutkan tema baju tahun itu. Yang perempuan mahukan merah jambu, yang lelaki pula mahukan biru. Kalau tidak diikutkan kedua-duanya, habis periuk dan sudip dijadikan senjata oleh mereka. Maka, terjadilah perang keluarga antara periuk dan sudip bersama bunyi meriam teriakan dari isterinya. Sekali lagi lelaki tua itu terkikik perlahan.
“Nampak gayanya, macam itulah. Apa nak buat. Sibuk katanya. Yang perempuan tu pula, kereta rosak. Nak buat macam mana lagi.” Selamba lelaki tua itu menjawab. Tangannya sudah beralih ke arah jaring ikan yang koyak di tepi sambil sesekali mencapai kopi hitam pekat dengan kadar gula 0 peratus di tepinya. Kurangkan manis dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman.
“Ila, bawakan abang kopi. Yang tadi dah habis.” Jerit lelaki tua itu dari luar rumah.
“Itulah engkau. Anak semua kerja tetapi tak pernah nak ada masa dengan ibu bapa sendiri. Kau tengok anak aku. Kerja memang kerja tapi balik juga. Siap belikan aku sofa baharu lagi. Kalau kau sunyi sangat tu rumah aku ni terbuka. Aku tak adalah jahat sangat nak biarkan kau orang berdua sahaja raya.” Kata-kata itu selamba tetapi cukup pedas bagi siapa-siapa yang mendengarnya. Isterinya yang baharu sahaja melabuh duduk di sebelah suaminya itu menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya di hari lebaran. Hatinya panas tapi ditahan juga.
Petang itu, pasangan itu meluangkan masa di hadapan televisyen. Tapi hati dan fikiran mereka jauh menerawang ke tempat lain. Hanya manusia dalam televisyen sahaja yang bersuara sejak tadi. Jiran-jiran sebelah ada yang sudah bingit dengan teriakan cucu cicit mereka. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk memasang lagu raya ketika ini. Lain lagi yang siap sedia dengan bunga api mereka. Ada juga yang melayan lagu sendu dengan suara tercekik mereka. Baju sedondon yang sudah siap bergosok dibiarkan tersangkut di hujung almari. Tidak ada keinginan mereka untuk menyarungkan baju tersebut. Padahal tema mereka tahun ini dipilih oleh anak perempuan mereka. Teh O yang berkepul-kepul asapnya tadi perlahan-lahan mulai menghilang tanda minuman panas itu bertukar ke minuman sejuk. Keropok yang disediakan di atas meja terbiar begitu sahaja. Mungkin sudah bertukar lemau sebab terbiar dari tadi. Kek krim yang dipotong kecil juga sudah lunyai hiasannya. Sekejap lagi mungkin akan menjadi syurga bagi semut-semut. Lelaki tua itu menghembuskan nafas lelah perlahan.
Tanpa dipinta, wanita tua itu mula mengemas meja di hadapan mereka. Tidak ada gunanya menjamah makanan yang terhidang di hadapan mereka ketika ini. Yang manis mungkin akan terasa pahit, yang masin terasa tawar. Sedih dengan kenyataan mereka sekali lagi beraya berdua sahaja. Sudah 3 kali mereka beraya berdua. Sebelum ini dia dapat memahami. Keadaan pandemik COVID-19 yang melanda dunia menghalang anak-anaknya untuk balik ke pangkuan keluarga. Tapi sekarang ini, bila semuanya sudah terbuka, anak-anak pula yang menutup jalannya. Hujung baju dibawa ke arah mata. Air mata yang menitis perlahan melalui tulang pipi yang timbul itu dikesat kasar. Sedih dan kecewa bercampur dalam satu perasaan.
Tangannya ligat mengangkat gelas-gelas kaca dan pinggan mangkuk yang diletakkan di atas meja tadi. Tanpa sengaja, sikunya tersenggol mangkuk kaca di sebelahnya. Mangkuk itu hancur berderai sama seperti hatinya ketika ini. Lelaki tua itu menjauhkan isterinya daripada bekas mangkuk pecah itu.
“Abang, anak kita dah tak sayang kita?” Itulah soalan pertama yang keluar dari bibir wanita tua itu. Lelaki tua itu berhenti mengelap dan melarikan pandangannya ke arah isterinya yang duduk bersimpuh di ruang tamu itu. Dia kemudian menghembus nafas perlahan. Isterinya kalau sudah macam ini susah untuk dia pujuk.
“Bukanlah. Kau janganlah fikir macam itu. Kan dia orang dah cakap. Bukan tanpa sebab. Raya ada sebulan. Kau jangan fikirkan sangat.” Begitu sahaja jawapan lelaki tua itu. Tetapi, isterinya masih lagi menangis. Basah lencun hujung baju kurungnya dijadikan tisu untuk mengelap air matanya. Wanita tua itu menggagahkan diri menuju ke arah dapur untuk menyiapkan makan malam mereka. Betul kata suaminya, raya ada sebulan. Mungkin hari ini dan hari esok anak-anaknya tak dapat balik. Hari lain pun masih boleh raya. Lelaki tua itu mengeluh lemah. Angin isterinya sukar diteka. Sekarang ini mungkin ke Timur, lepas ini ke Barat pula. Habis dijelajah dunia ini. Biarlah asalkan isterinya baik-baik sahaja sekarang. Bekas mangkuk kaca yang pecah itu dibalut dalam surat khabar kemudian ditatang menuju ke luar rumah. Niatnya ingin membuang gumpalan kaca itu ke tong sampah kitar semula yang disediakan di hujung kampung.
Langkah kakinya terhenti di anak tangga pertama. Surat khabar di tangannya terhempas begitu sahaja. Kaca mata yang digantungkan pada saku baju Melayunya digapai dan dipasangkan ke matanya. Dilap berkali-kali kaca matanya. Takut dengan apa yang dilihat olehnya di hadapan ketika ini.
“Assalamualaikum, Abah.” Sapa wanita muda itu dengan penuh lemah-lembut.
“Abah nak ke mana? Nampak macam terburu-buru. Gaduh dengan Umilah tu.” Suara garau lelaki pula kali ini.
“Selamat Hari Raya, Abah.”
Air matanya perlahan turun membelah pipi tirus milik lelaki tua itu. Dibuka kaca matanya kemudian diselitkan semula ke saku baju Melayunya. Si isteri yang terkejut dengan bunyi barang jatuh dari luar rumah bergegas menuju ke luar rumah. Lengan baju kurung yang disinsing separuh bersama skarf kepala yang sudah tidak menentu kedudukannya gegas diatur. Langkah kakinya terkocoh-kocoh, risau dengan keadaan suaminya.
“Kenapa ni ab…” Wanita tua itu tidak meneruskan lagi ucapannya. Dia kaku di anak tangga pertama sama seperti suaminya.
“Ila, kan aku dah cakap. Anak kita balik. Kau tak mahu percaya aku. Ini dia orang berlima ada depan mata kita bedua.” Lelaki tua itu berlari memeluk anak lelakinya. Tidak ketinggalan anak perempuannya turut dipeluk erat. Meluahkan rasa rindu yang meluap-luap. Wanita tua itu duduk bersimpuh di atas tangga dan menutup wajahnya menggunakan tangannya. Hujung lengan baju kurung yang disinsing tadi ditarik semula untuk mengelap air matanya yang jatuh deras ke kawasan tulang pipinya. Langkah pantas diambil oleh adik-beradik itu untuk menyambut Umi mereka yang sudah terduduk di atas tangga.
“Kau orang memang jahat. Umi dan Abah ingat kau orang langsung tak dapat balik.” Marah wanita tua itu. Luahan geram itu disambut dengan gelak ketawa oleh adik-beradik itu. Dipeluk sayang wanita tua itu.
“Alah Umi, janganlah marah. Tu, marah dengan Angah. Angah yang rancang semua ini. Bukan salah kita orang. Kita orang ikutkan sahaja.” Selamba bongsu itu menyalahkan kakak tengahnya.
“Eh aku pula. Tu, Alang yang mula semua. Angah tak ada kena-mengena.” Sahut anak ketiga itu pula. Mulalah perdebatan mulut antara si murai dengan si gagak itu. Yang satu tak mahu kalah, yang satu tak mahu mengaku. Memang padanlah murai dengan gagak. Kalau tidak dileraikan, memang sampai malam dua orang becok itu bergaduh.
“Sudah-sudah.” Itu suara anak sulung mereka. Kalau sudah si anak sulung menggunakan kuasa vetonya, satu rumah akan diam. Macam sekarang. Terus diam dua orang itu selepas mendengar nada tinggi dari suara garau abangnya. Jangan dibawa main abang mereka. Kalau kau tidak mahu hiasan cop selipar Jepun di muka.
“Ibu masak eh? Bau bawang.” Gelak anak kedua mereka selepas meleraikan pelukan ibunya. Wanita tua itu sudah ingin merajuk menuju ke dapur sebelum ditarik semula oleh adik-beradik itu. Mereka gelak ketawa di tangga itu. Begitu juga lelaki tua itu yang sudah menitikkan air mata terhibur dengan gelagat isterinya yang manja mengalahkan anak bongsu mereka. Adik-beradik itu berusaha mencairkan semula Umi mereka yang sudah terlanjur merajuk. Macam-macam disuakan. Ada yang bagi hadiah coklat ditolak. Ada yang bagi duit pun ditolak. Ada yang bagi baju baharu pun ditolak. Mahu dihulurkan pelukan barulah dia mulai melembut. Satu keluarga itu tertawa di tangga rumah yang menjadi saksi bisu kepada keharmonian keluarga itu sebelum mereka sekeluarga masuk ke dalam rumah.
Siang pada hari ini dilalui dengan gelap, tetapi malamnya menjadi lebih cerah. Mungkin ini tandanya manusia perlu bersabar. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Begitulah kehidupan seharian itu mengajar mereka untuk tidak mudah melatah. Rasa sedih yang bertapak dalam ruang rumah itu, mulai sirna fragmen demi fragmen dan digantikan suasana gembira dengan kehadiran anak-anaknya.
“Umi, Kuih Bahulu Angah mana?” teriak anak tengahnya itu. Membuyarkan lamunannya sebentar tadi. “Itu aku punyalah.” Si bongsu pula kali ini teriak dari dalam ruang dapur. Mulutnya penuh dengan Kuih Bahulu. Mulalah perdebatan antara kedua-dua anaknya itu. Satu ruang tamu gegak-gempita dengan tawa mendengar perdebatan anak-anaknya itu yang tidak padan dengan umur. Wanita tua itu menggeleng lemah.