SHAHRUL QAIZAT
KUCHING: PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd, mengambil alih terminal Gas Petroleum Cecair (LPG) Bintulu dari Petronas Dagangan Berhad (PDB).
Bagi tujuan itu, kedua-dua pihak hari ini menandatangani perjanjian jual-beli yang disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Perjanjian itu ditandatangani Pengarah PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd, Datu Hashim Bojet dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Rani Osman.
PUSTAKA Integrated Resources Sdn Bhd adalah anak syarikat Pusaka Capital Sdn Bhd, syarikat milik Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA). PDB pula anak syarikat Petronas.
Berucap pada majlis itu, Awang Tengah berkata, pengambilalihan itu adalah langkah penting ke arah meningkatkan industri minyak dan gas, sejajar aspirasi Sarawak untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam sektor berkenaan.
Katanya, ia menunjukkan kesungguhan Sarawak dalam pembangunan sektor minyak dan gas dan berharap lebih banyak penyertaan daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dalam sektor berkenaan.
“Ia selari usaha Sarawak mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi yang berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran mampan menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama berterusan antara PUSAKA Capital dan PDB akan dipertingkatkan lagi untuk manfaat Sarawak, selaras semangat Perjanjian Penyelesaian Komersial yang dimeterai antara Kerajaan Sarawak dan PETRONAS untuk membangun, meningkatkan kapasiti dan keupayaan syarikat Sarawak dalam sektor minyak dan gas.
Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani pula berkata, sejak 20 tahun lalu, pihaknya berjaya mengembangkan perniagaan LPG di Sarawak hingga ke tahapnya sekarang.
“Dengan asas kukuh termasuk tenaga kerja mahir serta kemudahan berteknologi tinggi yang telah kami bangunkan, ini akan terus menyokong aspirasi negeri untuk menjadi hab minyak dan gas di rantau ini,” katanya.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi PUSAKA Capital Sdn Bhd, Datuk Mohd Naroden Majais merakamkan ucapan terima kasih kepada PDB atas penjualan Terminal LPG Bintulu dan kepada Kerajaan Sarawak kerana memberi mandat serta keyakinan untuk PUSAKA Capital Group memiliki dan mengendalikan terminal itu.
“Kumpulan PUSAKA Capital telah bekerjasama dengan PDB sejak 2018 apabila PDB menganugerahkan PUSAKA Capital sebagai pengedar eksklusif untuk bitumennya di seluruh Sarawak,” katanya.
PUSAKA Capital juga merupakan salah satu pengedar diesel PDB.