PETALING JAYA: Syarikat telekomunikasi (telco) perlu segera memberi penjelasan berhubung dakwaan terdapat sejumlah besar talian telefon didaftarkan yang dikhuatiri disalahgunakan bagi kegiatan penipuan dalam talian, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pihaknya akan memanggil syarikat telco terbabit dan mahu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan memberikan penjelasan penuh berhubung perkara itu sebelum penghujung hari ini.
“Jika benar, syarikat-syarikat telco ini payah nak jawab. Saya akan panggil untuk mereka datang jumpa saya dan beri penjelasan penuh tentang perkara ini.
“Sebelum penghujung hari ini, saya nak CEO syarikat telco tersebut memberi penjelasan,” katanya ketika berucap melancarkan Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata kerajaan telah mengenakan beberapa sekatan termasuk mewajibkan pengesahan menggunakan MyDigital ID bagi pendaftaran talian prabayar.
Beliau berkata langkah itu penting susulan terdapat nombor telefon yang didaftarkan sebelum disalahgunakan bagi tujuan tidak baik.
Terdahulu, Nadzim mendakwa terdapat syarikat telco yang membenarkan pendaftaran antara 20 hingga 50 talian telefon menggunakan satu nama, sekali gus menimbulkan kebimbangan talian berkenaan boleh disalahgunakan, termasuk bagi kegiatan penipuan dalam talian.
Beliau berkata syarikat terlibat perlu dipertanggungjawabkan berhubung penyalahgunaan pendaftaran talian yang boleh menyebabkan pengguna menjadi mangsa penipuan.
Nadzim berkata pihaknya menerima kes seorang lelaki berusia 70 tahun, yang hanya mempunyai satu talian telefon tetapi mendapati sebanyak 18 talian didaftarkan atas namanya, selain satu kes lain membabitkan hingga 400 talian didakwa didaftarkan menggunakan satu nama.
“Kalau satu tempat (telco) boleh daftar menggunakan satu nama untuk 20 atau 50 talian tanpa masalah, perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana akhirnya pengguna yang menanggung akibat,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya berharap kerajaan memanggil CEO syarikat telco untuk menjelaskan mekanisme pendaftaran dan kawalan terhadap jumlah talian yang boleh didaftarkan menggunakan satu identiti, selain memastikan pihak yang terlibat dapat dipertanggungjawabkan. – Bernama





