
LIMBANG: Syarikat Choon Cheong Department Store Sdn Bhd Limbang terus menunjukkan keprihatinan terhadap golongan memerlukan apabila menyumbangkan 50 paket beras lima kilogram bersama minuman kotak satu liter kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di daerah ini.
Selain itu, sebanyak 30 bungkus beras dan minuman turut disumbangkan kepada penderma darah sempena program Derma Darah yang diadakan di Gereja St. Edmund, sebagai inisiatif menggalakkan penyertaan orang ramai dalam usaha menambah bekalan tabung darah di daerah berkenaan.
Sumbangan beras dan minuman kotak itu disampaikan oleh wakil syarikat berkenaan, Joseph Wong Ku Hai yang juga aktif dalam program kebajikan dan kemasyarakatan di Limbang.

Wong berkata, sumbangan kepada golongan OKU tersebut bertujuan meringankan beban kos sara hidup mereka serta penjaga, khususnya bagi mereka yang terlantar atau berpendapatan rendah.
“Sumbangan ini menunjukkan keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bermurah hati membantu golongan OKU serta tidak melupakan golongan yang memerlukan,” katanya kepada media hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa yang sama, sumbangan kepada penderma darah diharap dapat memberi motivasi dan galakan kepada orang ramai untuk terus menderma darah.
Katanya, program tersebut juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
Oleh Adeng Edrus