Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Syarikat penerbangan tambang murah Korea Selatan kurangkan 900 penerbangan pergi balik
  • GLOBAL

Syarikat penerbangan tambang murah Korea Selatan kurangkan 900 penerbangan pergi balik

Utusan Sarawak 7 hours ago
SYARIKAT penerbangan tambang murah Korea Selatan kurangkan 900 penerbangan pergi balik. Foto hiasan.

SEOUL: Syarikat penerbangan tambang murah Korea Selatan mengurangkan 900 penerbangan pergi balik serta melaksanakan cuti tanpa gaji dan langkah kecemasan lain susulan konflik berterusan di Asia Barat yang menyebabkan harga bahan api meningkat, menurut pegawai industri pada Ahad, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pengurangan penerbangan itu berlaku ketika harga bahan api jet melonjak susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran. Memandangkan beberapa syarikat penerbangan masih belum memuktamadkan jadual penerbangan bagi Jun, jumlah pengurangan penerbangan dijangka terus meningkat, menurut pegawai berkenaan.

Jeju Air Co., syarikat penerbangan tambang murah terbesar Korea Selatan, memutuskan untuk mengurangkan 187 penerbangan antarabangsa pergi balik, bersamaan empat peratus daripada keseluruhan operasinya, melibatkan laluan dari Incheon di barat Seoul ke Bangkok, Singapura serta bandar Da Nang dan Phu Quoc di Vietnam sepanjang Mei dan Jun. Sejak akhir April, syarikat itu turut menggantung laluan ke Vientiane selama dua bulan.

Jin Air Co. pula mengurangkan 176 penerbangan pergi balik ke destinasi termasuk Guam dan Phu Quoc hingga akhir bulan ini. Pengurangan tambahan dijangka dilakukan sebaik sahaja jadual bagi Jun dimuktamadkan.

Bagi syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, Asiana Airlines Inc. mengurangkan 27 penerbangan pergi balik bagi enam laluan, termasuk Phnom Penh dan Istanbul hingga Julai susulan tercetusnya konflik di Asia Barat.

Korean Air Co., syarikat penerbangan terbesar Korea Selatan, masih belum menyesuaikan operasi penerbangannya namun memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapat situasi itu di bawah sistem pengurusan kecemasan.

“Permintaan perjalanan bagi laluan jarak sederhana dan jauh semakin lemah berikutan peningkatan beban surcaj bahan api,” kata seorang pegawai syarikat penerbangan.

Seorang lagi pegawai industri berkata beberapa laluan di Asia Tenggara kini memerlukan hentian pengisian bahan api tambahan, manakala kenaikan harga bahan api telah meningkatkan kos tambahan pengisian bahan api itu secara mendadak.

Harga bahan api jet meningkat 2.5 kali ganda sejak tercetusnya perang itu.

Purata harga bahan api jet Singapura, yang digunakan sebagai penanda aras bagi surcaj bahan api, mencecah AS$214.71 setong bagi tempoh 16 Mac hingga 15 April, meningkat 150 peratus berbanding dua bulan sebelumnya.

Susulan keadaan perniagaan yang semakin mencabar, Korean Air, Asiana Airlines, Jin Air, T’way Air Co. dan syarikat penerbangan lain melaksanakan langkah pengurusan kecemasan.

T’way Air dan Jeju Air memperkenalkan program cuti tanpa gaji, manakala Jin Air menangguhkan pembayaran insentif keselamatan kepada pekerja.

Syarikat penerbangan mencatat prestasi pendapatan kukuh pada suku pertama, namun kebanyakannya dijangka mengalami kerugian pada suku kedua berikutan kesan konflik yang menyebabkan harga minyak melonjak, permintaan perjalanan merosot dan kelemahan mata wang won Korea, menurut penganalisis.

T’way Air kini berdepan masalah krisis tunai selepas mencatat kerugian selama dua tahun berturut-turut, dengan nisbah hutang melebihi 3,400 peratus setakat akhir 2025.

Air Premia Co. juga berada dalam keadaan pelemahan modal pada akhir tahun lalu. Pemerhati industri berkata lesen operasi syarikat itu boleh dibatalkan sekiranya gagal menyelesaikan masalah berkenaan. – Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Kapal dijangkiti hantavirus dijangka tiba di Kepulauan Canary esok
Next: Vijay jadi ketua menteri baharu Tamil Nadu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.