KUCHING: Kerajaan Sarawak sudah mempunyai nama baharu untuk syarikat penerbangan MASWings yang bakal diambil alih dalam suku pertama tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, bagaimanapun enggan mendedahkan nama tersebut kerana proses rundingan berkaitan penetapan nilai aset syarikat itu masih berlangsung.
Katanya, aset yang terlibat termasuk aspek pengendalian darat di lapangan terbang utama seperti di Kuching, Sibu, Miri, dan kawasan luar bandar.
“Jadi, siapa yang mengurusnya akan mengambil alih pengurusan pengendalian darat.
“Kita terpaksa mengambil alih aset ini, dan ada tempoh transisi antara kita dengan MASWings. Selepas itu, barulah syarikat kita dimuktamadkan,” katanya ketika pada sidang media di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, hari ini.
Kerajaan Sarawak merancang untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri bagi membuka lebih banyak laluan penerbangan terus dari wilayah ini ke destinasi antarabangsa seperti Jepun, Korea, dan Jerman.
Langkah ini juga bertujuan menstabilkan harga tiket penerbangan antara Borneo dan Semenanjung.
Sebelum ini, Abang Johari menyatakan bahawa pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak memerlukan campur tangan pihak ketiga bagi menyelesaikan perbezaan penilaian aset antara pihak terlibat.
Katanya, walaupun persetujuan prinsip telah dicapai dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), proses rundingan masih tergendala akibat perbezaan tersebut.
“Kita sudah bersetuju secara prinsip, tetapi kedua-dua pihak mempunyai penilaian berbeza terhadap aset MASwings.
“Kedua-dua pihak mempunyai juruaudit masing-masing, dan sekarang kita sedang dalam proses rundingan. Untuk menyelesaikan isu ini, kita memerlukan pihak ketiga untuk membuat penilaian terhadap aset MASwings,” katanya sebelum ini.
Oleh SHAHRUL QAIZAT