KUCHING: Sarawak masih menunggu keputusan dan pelepasan lesen oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum memulakan operasi syarikat penerbangan butiknya sendiri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia mungkin menjadi kenyataan dalam tempoh tiga bulan lagi dan dijangka beroperasi tahunn depan.
“Kita kini hanya menunggu keputusan dan pelepasan lesen oleh MOT. Kita telah buat kajian, dan kajian nampaknya membolehkan Sarawak mempunyai syarikat penerbangan butiknya sendiri.
“Dengan ada syarikat penerbangan sendiri, kita dapat membawa pelancong masuk ke Sarawak. Hanya menunggu pelepasan lesen daripada pihak MOT sahaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Sarawakku Sayang 2022 di Esplanade Telaga Air di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari menyatakan bahawa beliau kini sedang memikirkan mengenai syarikat penerbangan di Sarawak.
“Doa saja…dalam masa tiga bulan lagi. Saya cakap, dan saya akan buat.
“Syarikat penerbangan butik ini akan memberi tumpuan kepada hab strategik yang akan membawa masuk pelancong serta rakyat kita,” katanya.
Apabila beroperasi nanti katanya, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri akan menyambut kedatangan pelancong menggunakan penerbangan butik itu nanti.
November 2021 lalu, Abang Johari dilaporkan oleh media sebagai berkata syarikat penerbangan butik itu, untuk perjalanan perniagaan dan percutian, akan diletakkan di bawah Hornbill Skyways, perkhidmatan udara sewa serantau yang ditubuhkan di negeri ini.
Langkah itu akan membantu menjana pendapatan negeri melalui eksport produk pertanian serta memenuhi permintaan perjalanan individu dan pelancongan.
Oleh AZREEN KERIA