KUCHING: Sebuah syarikat keselamatan didakwa di Mahkamah Majistret Kuching kerana gagal mematuhi Perintah Mahkamah Buruh di bawah Seksyen 130C(a) Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (JTK Sarawak) dalam kenyataan memaklumkan, pertuduhan terhadap syarikat berkenaan dibuat semalam (27 Julai 2026) susulan kegagalan mematuhi perintah yang telah dikeluarkan Mahkamah Buruh.

“Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 terhadap syarikat terbabit.
“Selain itu, tertuduh turut diperintahkan membayar sejumlah RM12,159.33 dalam tempoh yang ditetapkan oleh mahkamah.
“Sekiranya gagal menjelaskan bayaran tersebut, denda harian sebanyak RM50 akan dikenakan sehingga keseluruhan jumlah berkenaan dilunaskan sepenuhnya,” katanya.
JTK Sarawak berkata, Perintah Mahkamah Buruh merupakan perintah yang wajib dipatuhi oleh semua majikan dan kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan di bawah Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
Menurutnya, tindakan sedemikian boleh membawa kepada pendakwaan serta hukuman mahkamah terhadap majikan yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.
JTK Sarawak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang mengabaikan kewajipan di bawah perundangan buruh.
Jabatan itu turut memaklumkan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan hak pekerja dilindungi, pematuhan undang-undang diperkasakan serta keadilan kepada pekerja terus ditegakkan.




