
BINTULU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mempertingkat penguatkuasaan di Sabah susulan aduan mengenai penyelewengan dan aktiviti haram yang menjejaskan keselamatan sektor pelancongan negara.
Menterinya, Dato Seri Tiong King Sing berkata operasi pemeriksaan bersama di sekitar Tawau baru-baru ini melibatkan pegawai MOTAC, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan.
“Sepanjang operasi dua hari, kami memeriksa 30 bas dan kenderaan pelancongan, 15 premis perniagaan, 40 bot dan empat jeti.
“Sebanyak sembilan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya dalam kenyataan di facebook beliau.

Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, pemeriksaan turut mendapati wujud syarikat pelancongan yang kelihatan milik tempatan tetapi sebenarnya dikendalikan pelabur asing khususnya dari China yang menjalankan aktiviti tanpa kebenaran seperti pembinaan chalet atas air, penternakan akuakultur dan inap desa haram di kawasan pertanian.
Tegas beliau, pelabur asing dialu-alukan untuk menyumbang kepada industri pelancongan namun mereka wajib mematuhi undang-undang negara sepenuhnya.
“Mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti haram atau penyalahgunaan lesen akan dikenakan tindakan tegas termasuk pembatalan lesen secara kekal sekiranya bukti kukuh diperoleh,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan pengusaha tempatan supaya tidak menyewakan atau meminjamkan lesen kepada pihak lain demi keuntungan kerana langkah itu boleh menjejaskan keselamatan pelancong dan reputasi industri pelancongan negara.
Oleh Carolyne Utih