
WASHINGTON: Pendekatan bersejarah Amerika Syarikat (AS) terhadap perdagangan dengan Afrika yang mengabaikan kepentingan perniagaan telah menyebabkan syarikat-syarikat AS ‘tidak bersedia’ untuk bersaing dengan Rusia dan China, kata Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Afrika, Corina Sanders, pada Jumaat.
“AS secara sejarahnya memberi tumpuan kepada peningkatan keadaan makroekonomi di Afrika berbanding memudahkan akses syarikat AS kepada peluang perniagaan.
Jadi, dalam hal promosi eksport, persediaan projek, dan alat pembiayaan, mereka bergerak perlahan. Mereka agak terasing dan tidak bersedia untuk bersaing dengan pesaing global seperti China dan Rusia,” kata Sanders kepada Majlis Atlantik, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Beliau berkata bahawa Afrika mewakili “pasaran yang berkembang dan belum diterokai untuk eksport AS”, dan pentadbiran Presiden AS Donald Trump telah menyatakan dengan jelas matlamatnya untuk meningkatkan eksport dan pelaburan negara itu ke benua berkenaan.
“Afrika sepatutnya, pada pandangan kami, menjadi satu daripada rakan dagang utama. Namun, eksport AS ke sub-Sahara Afrika tidak banyak berubah dalam tempoh 20 tahun dan sebenarnya mewakili kurang satu peratus daripada jumlah perdagangan barangan,” katanya.
Beliau juga berkata “penekanan besar” pada industri dan sokongan ekonomi di kedua-dua belah Atlantik akan diperlukan untuk mengubah situasi ini.
Pada 2024, AS mengimport barangan bernilai lebih AS$39.5 bilion dari Afrika dan mengeksport barangan bernilai AS$32.1 bilion, menurut data daripada Biro Banci AS. Dalam tiga bulan pertama 2025, import berjumlah lebih AS$13.2 bilion manakala eksport mencecah AS$9.6 bilion. — Bernama-Sputnik/RIA Novosti