TOKYO: Sebuah syarikat yang bercita-cita menjadi firma swasta pertama Jepun untuk menghantar satelit ke orbit menangguhkan pelancaran roketnya hari ini, selepas percubaan pertamanya berakhir dengan letupan di udara.
Roket Kairos milik Space One, syarikat berpangkalan di Tokyo, sepatutnya dilancarkan buat kali kedua dari tapak pelancarannya di wilayah Wakayama pada jam 11 pagi (0200 GMT).
Bagaimanapun, pelancaran roket berkenaan dibatalkan kira-kira 20 minit sebelum jadual.
“Ketika proses membuat keputusan terakhir untuk pelancaran, kami menganalisis keadaan cuaca dan mendapati kelajuan angin pada ketinggian 10 kilometer terlalu kuat, menjadikannya tidak sesuai untuk dilancarkan,” kata eksekutif Space One, Kozo Abe, kepada pemberita.
Abe memaklumkan syarikat itu merancang untuk mencuba sekali lagi pada waktu yang sama esok.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk membuat persiapan bagi pelancaran esok,” katanya.
Firma swasta kini menawarkan peluang penerokaan angkasa yang lebih murah dan kerap berbanding kerajaan, manakala Space One berharap dapat mencontohi SpaceX milik Elon Musk yang mempunyai kontrak dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Pentagon.
Bagaimanapun, syarikat itu masih perlu melepasi cabaran pelancaran awal.
Roket bahan api pepejal Kairos, yang membawa satelit ujian milik kerajaan, dilancarkan buat kali pertama pada Mac lalu dari tapak pelancar Space One, dikenali sebagai Spaceport Kii.
Namun, hanya beberapa saat selepas itu, masalah teknikal dikesan dan arahan pemusnahan kendiri dihantar kepada roket setinggi 18 meter itu.
Roket berkenaan meletup dengan api marak, mengeluarkan asap putih tebal di kawasan pergunungan terpencil.
Ratusan penonton yang berkumpul di kawasan tontonan awam, termasuk kawasan tepi laut berdekatan, menyaksikan kejadian dramatik itu. – AFP