
KUCHING: Pemain badminton Sarawak, Syafiq Phua Fadhlee Phua, menghadiahkan pingat emas tunggal lelaki kepada kontinjen tuan rumah selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Aravindakumara A/L Rajamurthi.
Kemenangan itu diraih dalam aksi sengit tiga set 21-14, 16-21 dan 21-17 pada hari terakhir acara badminton Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) Ke-22, 2025 yang berlangsung di Dewan Persatuan Badminton Sarawak, hari ini.
Kejayaan manis itu lebih bermakna apabila Syafiq dan rakan sepasukan hanya sempat menjalani latihan intensif selama seminggu menjelang kejohanan, namun tetap mempamerkan semangat juang dan disiplin tinggi di gelanggang.
Ketua jurulatih badminton orang pekak Sarawak, Suhaili Laiman, berkata pencapaian Syafiq membuktikan keazaman mampu mengatasi kekangan masa dan persediaan yang terhad.
“Persembahan mereka sangat bagus walaupun kami hanya sempat berlatih selama seminggu sahaja. Saya sebenarnya tidak puas hati dengan masa latihan yang singkat, tetapi Syafiq menunjukkan semangat dan fokus luar biasa,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Menurut beliau, Syafiq menampilkan corak permainan konsisten dan tenang walaupun berdepan tekanan lawan yang kuat, malah stamina dan ketahanan fizikalnya menjadi kunci kepada kemenangan tersebut.
“Kalau kami diberi lebih masa untuk latihan, saya percaya lebih banyak pingat boleh diraih. Sasaran saya untuk edisi akan datang ialah sekurang-kurangnya dua emas,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa aspek taktikal dan stamina menjadi antara kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi kejohanan seterusnya, namun menegaskan bahawa semangat juang semua pemain tetap tinggi hingga ke penghujung pertandingan.
Pemilihan atlet bagi skuad badminton orang pekak Sarawak dibuat melalui program iTalent anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) yang dijalankan di beberapa daerah termasuk Sarikei, Miri dan Sri Aman bagi mencungkil bakat baharu di seluruh negeri.
Kejayaan Syafiq bukan sahaja menutup tirai SOPMA 2025 dengan cemerlang buat Sarawak, tetapi juga menjadi simbol kekuatan dan ketabahan atlet orang pekak negeri ini yang tidak pernah menjadikan kekangan sebagai alasan untuk berjuang.
Oleh Adele Rissa