
BINTANGOR: Seorang lelaki berusia 53 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan Op Tapis Khas yang dijalankan oleh pasukan Pasukan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di sebuah rumah di Jalan Chung San pada semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata serbuan dan pemeriksaan tersebut dijalankan kira-kira 11.30 pagi hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihak polis.
“Semasa serbuan, pihak polis telah menjumpai satu paket plastik lutsinar, sembilan paket plastik lutsinar berjalur warna biru serta 44 keratan tiub straw pelbagai saiz berjalur merah yang kesemuanya mengandungi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine (syabu).
“Kesemua bahan disyaki dadah itu ditemui di dalam sebuah kotak rokok berwarna putih bertulis ‘L.A ICE’ yang diletakkan di atas meja di ruang tamu rumah tersebut.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong untuk siasatan lanjut dan saringan ujian air kencing,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan di pejabat BSJND Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan dadah sebelum ini.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak melebihi lima tahun, dan hendaklah juga dihukum sebatan tidak kurang daripada tiga kali tetapi tidak melebihi sembilan kali,” tegasnya.
Katanya, pihak polis memandang serius kesalahan dan kegiatan dadah dalam kalangan masyarakat serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong bagi membantu usaha membanteras jenayah tersebut.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek