
KUCHING: Hab Keusahawanan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dengan kerjasama Mango Media Borneo baru-baru ini menganjurkan bengkel berimpak tinggi bertajuk ‘2026 Xiaohongshu NEW Ways to Play’, sekali gus mencatat sejarah sebagai lawatan sulung pasukan rasmi Xiaohongshu (Red Note) dari China ke Sarawak.
Bengkel yang berlangsung pada 22 Januari lalu itu dianjurkan di bawah inisiatif baharu Mango Space, iaitu kerjasama strategik yang bertujuan melahirkan generasi baharu usahawan media secara langsung dari kampus. Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemua 50 tempat yang disediakan dipenuhi oleh usahawan, pengurus industri, kakitangan universiti serta pelajar.
Peserta berpeluang memperoleh perkongsian secara langsung daripada tokoh industri termasuk Ketua Saluran Pemasaran Luar Negara yang pakar dalam ekosistem global Xiaohongshu, Jeson serta Pakar Pemasaran Pertumbuhan Aset Pelanggan Xiaohongshu, Fu Shan.

Sesi separuh hari itu memberi pendedahan menyeluruh mengenai landskap e-dagang sosial yang semakin berkembang pesat, khususnya dalam konteks pasaran Malaysia.
Ketua Hab Keusahawanan Swinburne Sarawak, Dr Gabriel Wee Wei En, berkata bengkel berkenaan bukan sekadar satu seminar, sebaliknya merupakan langkah permulaan kepada inisiatif Mango Space yang bertujuan merapatkan jurang antara teori akademik dan realiti dunia keusahawanan media digital yang bergerak pantas.
Bengkel ‘2026 Xiaohongshu NEW Ways to Play’ merupakan yang pertama dalam siri program Januari anjuran Hab Keusahawanan Swinburne Sarawak dan menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif akan datang, sekali gus mengukuhkan peranan universiti tersebut sebagai pusat inovasi dan integrasi industri di peringkat serantau.