Swinburne Sarawak jadi ahli ke-27 rangkaian Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi Malaysia

Facebook
WhatsApp

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak menjadi ahli ke-27 rangkaian Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) Malaysia menerusi kerjasama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Menurut kenyataan Swinburne Sarawak, Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menubuhkan Pusat Sokongan Teknologi dan Inovasi (TISC) di universiti berkenaan, sekali gus memperkukuh kesedaran harta intelek (IP), sokongan inovasi dan pengkomersialan teknologi.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Swinburne Sarawak hari ini, dengan Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff dan Pro Naib Canselor serta Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Ir Profesor Lau Hieng Ho menandatangani perjanjian bagi pihak institusi masing-masing.

Menerusi pusat itu, penyelidik, pelajar dan kakitangan Swinburne Sarawak akan mendapat akses kepada maklumat paten, pangkalan data teknologi khusus, khidmat carian paten, khidmat nasihat inovasi serta sumber pemindahan teknologi.

Yusnieza berkata, kerjasama itu bukan sekadar kolaborasi rasmi, sebaliknya peluang memperkukuh hubungan antara penyelidikan, harta intelek dan inovasi serta menyediakan laluan lebih jelas untuk idea universiti memberi impak lebih luas.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Swinburne Sarawak kerana disenaraikan dalam kelompok 10 institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia dengan jumlah permohonan paten tertinggi dalam ranking MyIPO 2025.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen universiti terhadap penyelidikan, kemajuan teknologi dan perlindungan harta intelek,” katanya.

Sementara itu, Profesor Lau berkata penyelidikan mencapai nilai terbesar apabila ia bergerak melangkaui penerbitan akademik untuk memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan ekonomi.

Beliau berkata penubuhan pusat itu akan membolehkan penyelidik, pelajar dan kakitangan mendapat akses terus kepada maklumat paten, sumber carian teknologi dan sokongan harta intelek yang diperlukan untuk menterjemahkan hasil penyelidikan kepada aplikasi komersial.

Kerjasama itu turut dilihat dapat memperkukuh hubungan antara akademia, industri dan kerajaan, selain meningkatkan kesedaran harta intelek serta membantu hasil penyelidikan mencapai penyelesaian dunia sebenar.

Susulan majlis berkenaan, peserta turut menghadiri sesi perkongsian bertajuk ‘Membuka Nilai Komersial: Mengintegrasikan Kecemerlangan Penggubalan Paten dengan Hak Harta Intelek yang Lebih Luas’ yang disampaikan Penolong Pengarah Akademi Harta Intelek, MyIPO, Puan Sofia Rehan Ramli.

Penubuhan pusat itu dijangka memperkukuh ekosistem inovasi Sarawak menerusi penglibatan lebih mendalam dengan industri dan pihak berkepentingan, sekali gus menyokong aspirasi negeri membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan.