Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Swinburne Sarawak hidupkan semangat Ramadan melalui kempen amal dan bazar
  • TEMPATAN

Swinburne Sarawak hidupkan semangat Ramadan melalui kempen amal dan bazar

Utusan Sarawak 5 hours ago
RAKAM kenangan selepas Majlis Buka Puasa Amal bersama Profesor Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman (barisan depan, keempat dari kiri), Penjaga Rumah Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah, Muhammad Al-Hasyer Abdullah Sani (barisan depan, kedua dari kiri), kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah, wakil dari Swinburne Sarawak. 

KUCHING: Semangat Ramadan diraikan dengan penuh makna di Kampus Swinburne University of Technology Sarawak melalui Program Jangkauan Ramadan dan Bazar Amal Swinburne Sarawak 2026 yang mengumpulkan pelajar, kakitangan dan komuniti setempat dalam satu program yang menekankan keprihatinan dan perpaduan.

Program yang berlangsung dari 2 hingga 6 Mac 2026 itu merangkumi Kempen Amal, Majlis Buka Puasa Amal, serta Bazar Amal yang meriah di kampus.

Tumpuan utama tahun ini adalah kempen amal yang berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM5,000 daripada 38 penderma.

Bantuan yang terdiri daripada duit raya, baju Melayu dan barangan keperluan asas seperti beras, tepung, minyak masak, biskut dan gula disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah, sebuah rumah anak yatim tempatan.

PROFESOR Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman (kanan) menyampaikan hadiah kepada salah seorang kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah, disaksikan oleh Penjaga Rumah Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah, Muhammad Al-Hasyer Abdullah Sani.

Penyerahan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dibuat semasa Majlis Buka Puasa Amal pada 4 Mac 2026. Sebagai tanda penghargaan, setiap penderma turut menerima kek lapis tradisional.

Majlis Buka Puasa Amal itu membangkitkan suasana hangat dan mesra, dengan kehadiran 13 kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah sebagai tetamu jemputan.

Program ini menekankan bahawa tanggungjawab universiti bukan sekadar dalam bilik kuliah, tetapi turut menyentuh kehidupan komuniti lebih luas.

Pada majlis perasmian Bazar Amal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan) Profesor Dr Ida Fatimawati Adi Badiozaman menyampaikan penghargaan kepada semua penderma, serta memuji jawatankuasa, peniaga dan sukarelawan yang menjayakan program.

ANTARA sumbangan diserahkan kepada Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah 

“Ramadan adalah masa untuk refleksi, kesyukuran, belas kasihan dan memberi. Nilai ini melangkaui budaya dan agama. Perhimpunan kita malam ini mencerminkan nilai tersebut dan menekankan bahawa di Swinburne, kepelbagaian dihormati, diraikan dan diamalkan,” katanya.

Beliau menambah, “Kepada kanak-kanak jemputan, kami berharap malam ini membawa kehangatan dan meninggalkan kenangan indah, serta membolehkan anda merasai bahawa komuniti yang lebih luas menghargai dan menyokong kesejahteraan anda.”

Bazar Amal Swinburne Sarawak menarik lebih 200 pengunjung setiap hari, meriah dengan pelbagai gerai yang menawarkan makanan dan minuman.

Sebanyak 22 gerai yang terdiri daripada perniagaan pelajar dan peniaga luar menyemarakkan suasana pada permulaan semester baharu, dan hasil sewaan gerai turut disalurkan terus ke dana amal.

Program Jangkauan Ramadan dan Bazar Amal Swinburne Sarawak 2026 menunjukkan komitmen universiti terhadap pendidikan holistik yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik tetapi juga tanggungjawab sosial, empati dan penglibatan sivik.

Continue Reading

Previous: Bahan api 200 liter: Kerajaan Persekutuan didesak tetapkan had kuota lebih tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.