LUNDU: Kerajaan Sarawak menugaskan Universiti Teknologi Swinburne untuk menjalankan kajian bagi membangunkan enjin turbin dengan bilah buatan sendiri, dalam usaha memperkukuhkan industri penerbangan dan penjanaan hidroelektrik di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penyelidikan ini adalah penting kerana ia berperanan besar dalam pembinaan pesawat dan penjanaan elektrik melalui kuasa hidro.
“Enjin turbin ini mempunyai kepentingan besar dalam kedua-dua sektor tersebut. Oleh itu, saya mencadangkan agar Swinburne meneroka potensi menghasilkan enjin turbin dengan bilah buatan sendiri.
“Dengan bantuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan pencetakan 3D, kita mampu menghasilkan komponen asas turbin ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Akademi Aeroangkasa di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lundu, di sini hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari turut menyatakan bahawa Sarawak berpotensi untuk menjual turbin hasil tempatan ke negeri-negeri lain apabila berjaya menghasilkan bilah enjin sendiri kelak.
“Cukup sekadar menghasilkan bilah. Kita boleh mengeluarkan bilah turbin untuk hidroelektrik dan pesawat kerana sistemnya adalah serupa.
“Dengan bilah diperbuat dari Sarawak, kita boleh menjualnya ke negeri-negeri lain yang memerlukannya,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa kerajaan berhasrat untuk melahirkan jurutera yang mahir dalam pembuatan enjin turbin, sekali gus mengukuhkan industri aeroangkasa di Sarawak.
“Ini merupakan salah satu langkah yang perlu diambil dalam industri aeroangkasa, dan saya yakin CENTEXS serta pihak berkaitan mampu melatih generasi muda untuk menceburi bidang ini,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT