KUCHING: Majlis Kebajikan Sosial Sarawak (SWCS) akan menganjurkan Karnival Kebajikan SWCS 2026 pada 16 dan 17 Oktober ini di Pusat Beli-Belah Boulevard, dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam.
Pengerusi Penganjur Karnival Kebajikan SWCS 2026, Lucas Lim, berkata program itu turut mengetengahkan kepentingan intervensi awal, membuat pilihan yang bertanggungjawab serta mendapatkan akses kepada perkhidmatan sokongan.
“Kami teruja untuk membawa karnival ini kepada komuniti kerana kesihatan mental dan pencegahan dadah merupakan isu yang memberi kesan kepada semua.
“Kami mahu semua mengetahui bahawa bantuan dan sokongan sentiasa tersedia, bukan hanya sepanjang karnival tetapi juga selepasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, SWCS bersama organisasi anggotanya, agensi kerajaan dan rakan komuniti akan mempamerkan perkhidmatan serta program berkaitan, selain menyediakan maklumat, panduan dan rujukan secara terus kepada pengunjung.

“Perkhidmatan pemulihan dan sokongan juga akan terus disediakan selepas karnival berakhir.
“Orang ramai, organisasi komuniti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat serta pihak berkepentingan lain dialu-alukan untuk menyertai dan menyokong karnival berkenaan,” ujarnya.
SWCS turut mengalu-alukan organisasi dan syarikat yang berminat untuk menyertai program sebagai penaja, pempamer atau rakan komuniti bagi memperluas impak inisiatif berkenaan.
SWCS menegaskan bahawa kebajikan bukan hanya berkaitan sokongan ketika krisis, tetapi turut merangkumi usaha membina komuniti yang lebih kukuh melalui kesedaran, intervensi awal, pencegahan, pemulihan dan kerjasama.
Bertemakan “Minda Kuat, Pilihan Selamat”, karnival itu memberi tumpuan kepada kesedaran kesihatan mental, pencegahan dadah dan kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Pusat Beli-Belah Boulevard menaja lokasi penganjuran bagi membantu menjadikan program tersebut lebih mudah diakses oleh masyarakat.




