MIRI: Bertindak atas maklumat orang ramai, Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menyelamatkan 48 telur buaya di Kuala Baram, Miri, baru-baru ini.
SFC dalam kenyataan berkata, pada Sabtu lalu pihaknya menerima dari pekerja ladang menyatakan mereka melihat buaya besar di ladang tersebut.
“Semasa operasi pertama, pasukan SWAT kami tidak dapat mengesan buaya tersebut tetapi telah menjumpai 48 telur buaya.
“Namun, keesokan harinya pasukan berjaya menangkap buaya sepanjang sembilan kaki, manakala telur-telur tersebut diserahkan kepada peternakan buaya di Kuala Baram untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan tersebut, semalam.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, SFC berkata seorang lelaki telah menyerahkan ular sawa yang dijumpai di rumahnya.
“Seorang lagi lelaki dari Long Selaan telah menyerahkan ‘wak-wak’ ke Pejabat SFC Wilayah Miri (MRO).
“Kedua-dua haiwan liar yang diserahkan akan disimpan dengan selamat di MRO sebelum dilepaskan ke dalam hutan,” katanya.
Menurut SFC, buaya dan ular sawa adalah spesies yang dilindungi, manakala wak-wak adalah spesies terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.
Ketua Pegawai Eksekutif SFC yang juga Pengawal Kehidupan Liar, Zolkipli Mohamad Aton dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada masyarakat atas tindakan serta kesedaran mereka dalam melindungi hidupan liar.
Beliau menekankan bahawa adalah lebih baik haiwan liar terjaga di dalam hutan liar sebagai sebahagian daripada ekosistem.
“Jika mereka terancam dan pupus, generasi masa depan akan menyalahkan kita kerana tidak melindungi dan memulihara warisan berharga ini.
“Oleh itu, kita semua mesti memainkan peranan dalam memelihara kewujudan hidupan liar kita,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai hidupan liar diminta menghubungi talian SFC – Kuching (019-8859996, 013-8110150), Sibu (019-8883561), Bintulu (019-8223449, 019- 8332737), atau Miri (019-8224566 , 019-8290994).
Oleh Zarina Abdullah