KUCHING: Sarawak sedia menggubal undang-undang baharu dalam usaha menuntut kredit karbon sebagai komoditi perdagangan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini sedang berada dalam landasan yang tepat dalam usaha mengerakkan negeri ke arah berteraskan teknologi hijau.
Maka dengan itu, beliau berasa langkah proaktif ini wajar diambil kerana tidak ada peruntukan dalam undang-undang sedia ada di Sarawak pada ketika ini yang membolehkan kredit karbon menjadi komoditi perdagangan.
“Apabila Sarawak berjaya menghasilkan teknologi hijau, kita akan menjadi negeri yang berkait dengan kredit karbon. Maka kita berhak menuntut kredit karbon,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Craun Research Sdn. Bhd. dengan Knowledge Integrated Services (Singapura) Pte. Ltd, dan Nitsei Sago Industries Sdn. Bhd. di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan, Sarawak telah memulakan pengeluaran tenaga hijau melalui penghasilan biogas yang menggunakan sisa cecair sagu bagi kegunaan isi rumah.
Menurutnya, projek yang dibangunkan oleh CRAUN ini dimaklumkan telah berjaya menunjukkan hasil yang positif dan sesuai dengan sasaran yang ditetapkan.
“Selain itu, kita turut membangunkan Projek Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu dalam usaha menghasilkan sumber gas memasak alternatif yang hijau, lestari dan murah berbanding gas komersial yang sedia ada kini.
“Terdapat tiga produk yang dihasilkan daripada usaha rawatan sisa cecair ini iaitu menghasilkan tenaga, mengeluarkan sisa cecair yang bersih dan yang paling utama adalah mengeluarkan biogas,” jelasnya lagi.
Mengulas lebih lanjut berkenaan kajian terhadap biogas, beliau berkata produk ini boleh digunakan bagi tujuan memasak atau tujuan lain kerana ia mengandungi metana (methane).
Justeru itu, Abang Johari memaklumkan bahawa undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan kredit karbon akan digubal bagi menjamin manfaat kepada ekonomi negeri ini kelak.
Dalam hal berkaitan, Abang Johari turut mencadangkan CRAUN menjalankan penyelidikan berkenaan sisa industri kelapa sawit khusus dalam penghasilan biogas.
“Sagu adalah di bawah kategori ‘palm’, sama seperti kelapa sawit (palm oil). Jika sagu boleh menghasilkan biogas, secara biologinya kelapa sawit juga pasti dapat menghasilkan produk akhir yang sama,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sekiranya penyelidikan ini berjaya, sektor ekonomi dan perniagaan tempatan secara tidak langsung akan turut berkembang maju.
Terdahulu, Abang Johari telah menyaksikan majlis menandatangani perjanjian bagi projek pembangunan Model Penyaliran Biogas Termurni Daripada Sisa Cecair Sagu Untuk Kegunaan Isi Rumah.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) Sarawak Datuk Amar Michael Manyin, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Sarawak Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Pengerusi Lembaga Pengarah CRAUN Kameri Affandi, Ketua Pegawai Eksekutif CRAUN Sdn. Bhd. Zaidell Husaini, wakil Nitsei Sago Industries Sdn. Bhd. Ng Yong Kiang, dan wakil Knowledge Intergration Services (Singapura) Pte. Ltd. Dino Bidari.
Oleh Akmal Adib Yusup