PREMIER Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu vip menyingkap kain papan tanda semasa menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Sarawak Energy dan Sarawak Forestry sempena Hari Alam Sekitar Dunia di Samajaya Nature Reserve di Kuching semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO.
KUCHING: Sebanyak 12,247,202 pokok telah ditanam di seluruh Sarawak setakat 30 Mei 2022.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, jumlah tersebut meletakkan Sarawak di kedudukan tertinggi di Malaysia.
“Sebanyak 33,162,534 pokok telah ditanam di seluruh Malaysia setakat 30 Mei lepas dan sekitar satu pertiga daripada jumlah tersebut telah disumbangkan oleh inisiatif negeri ini bagi menangani isu perubahan iklim.
“Sebagai wilayah terbesar di Malaysia, Sarawak boleh bertindak sebagai peneraju tindakan iklim dengan mengambil inisiatif untuk menunjukkan bagaimana kita boleh mengimbangi pembangunan dengan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Sarawak Energy 10-Year Integrated Tree Planting, Protection and Habitat Restoration’ di Rizab Alam Semula Jadi Samajaya, semalam.
Mengulas lanjut Abang Johari berkata, program penanaman pokok bersepadu 10 tahun, perlindungan dan pemulihan habitat Sarawak Energy (SEB) adalah salah satu cara untuk meningkatkan lagi bilangan pokok yang ditanam di negeri ini.
“Saya ingin mengingatkan SEB, anda tanam pokok ini sebenarnya anda ada kelebihan di mana terdapat pengurangan cukai rebat di bawah skim ini iaitu 10 peratus daripada pendapatan agregat SEB.
“Anda boleh meminta pengurangan cukai di bawah program ini. Jadi saya fikir, tanam sahaja pokok banyak-banyak, selepas itu anda boleh meminta rebat.
“Pada masa yang sama ini bermaksud kerajaan Sarawak serius dalam menanam pokok manakala pada masa yang sama juga menjadi stok karbon,” ujarnya.
Pada program tersebut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SEB dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan tujuan mewujudkan kerjasama berkaitan penanaman serta perlindungan pokok di samping menjalankan pelbagai kajian lain berkaitan projek biodiversiti yang merangkumi aset, fasiliti, lokasi dan kawasan projek dimiliki SEB di seluruh Sarawak.
Individu-individu yang menandatangani MoU tersebut dari pihak SEB ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datu Sharbini Suhaili, Naib Presiden Kanan (Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar), Marconi Madai dan Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat), Siti Aisah Adenan manakala wakil-wakil dari SFC pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Zolkipli Mohamad Aton, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Oswald Braken Tisen dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kedua, Abang Arabi Abang Aimran.
Berkenaan dengan taman negara, Abang Johari berkata beliau telah bersetuju untuk menaik taraf Taman Negara Piasau dengan kos sebanyak RM30 juta.
Selain itu, yang keduanya ialah kerajaan negeri akan mencadangkan Bukit Siol Nature Park kepada taman semula jadi.
“Takkan ada Samajaya Nature Park sahaja, orang seberang nun berik juak pok, jadi kita hendak tukarkan Bukit Siol di Petra Jaya sebagai taman rizab alam semula jadi juga.
“Bukit Siol ada sejarahnya juga, ini bermakna kita juga mempunyai rizab alam semula jadi di Bukit Siol,” katanya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO