KUCHING: Kiosk Maklumat Masjid Bandaraya Kuching membuka jendela baharu dalam misi mempromosikan produk pelancongan warisan di Sarawak.
Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ia adalah salah satu usaha Kerajaan Sarawak dalam mempergiatkan industri pelancongan di negeri ini dengan memberikan penekanan kepada sumber warisan yang sedia ada.
“Inisiatif ini adalah merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) yang memperkenalkan Monumen Sejarah, Kampung Warisan, Perniagaan Warisan dan juga Warisan Tebingan Sungai Sarawak kepada pelancongan dunia.
“Kerajaan Negeri yakin dengan warisan yang kaya serta seni dan budaya yang tinggi Sarawak miliki ini mampu menarik perhatian pelancongan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Kiosk Maklumat Masjid Bandaraya Kuching, di sini semalam.
Menurutnya, Kerajaan sedar bahawa pembentangan dan penyebaran fakta tidak lagi boleh bergantung dengan metodologi lama seperti risalah dan buku bercetak.
Katanya, perkembangan teknologi yang semakin pesat dan bergerak laju ini perlu dijadikan wadah baharu bagi tujuan promosi dan pendedahan ke arah pelancongan.
“Justeru itu, Kiosk Maklumat Masjid Bandaraya Kuching menjadi salah satu langkah utama Kerajaan Sarawak menjadikan teknologi digital sebagai medium perbentangan hasil warisan,” tambahnya.
Abdul Karim turut mendedahkan inisiatif ini akan diterapkan kepada beberapa buah lagi warisan Sarawak seperti Rumah Warisan Jalan Masjid, Madrasah Orang Melayu Islam dan banyak lagi.
Dalam hal berkaitan, sejajar dengan visi untuk memperkenalkan warisan Sarawak kepada para pelancong, beliau menegaskan bahawa kementeriannya menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan Pemandu Pelancong Masjid.
“Melalui gabungan digitalisasi maklumat yang diperkukuhkan dengan kemampuan pemandu pelancong yang berkemahiran tinggi dari segi pengetahuan fakta dan tahap komunikasi, saya yakin ia akan menghasilkan kejayaan yang gemilang,” tegasnya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah memberikan ruang kepada Kerajaan untuk meneliti dan mengkaji bidang tertentu yang berpotensi membangunkan ekonomi negara.
“Kerajaan Sarawak melihat ini sebagai peluang untuk kita melonjak lebih jauh ke hadapan dan bersaing dengan lebih baik di peringkat dunia, di samping ia dapat membantu rakyat dalam tahap pemulihan,” ujarnya lagi.
Turur hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Sabariah Putit, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Naib Canselor UNIMAS Professor Datuk Mohamad Kadim Suaidi, dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP