DEMONSTRASI… Gambar bertarikh 2 Mac 2021 menunjukkan penunjuk perasaan memegang poster memaparkan pemimpin awam yang ditahan Aung San Suu Kyi semasa demonstrasi menentang rampasan kuasa tentera di Yangon, Myanmar. • Foto AFP
YANGON: Mahkamah Junta Myanmar mendapati pemimpin awam yang digulingkan Aung San Suu Kyi bersalah atas kesalahan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepadanya, kata sumber yang mengetahui perkara itu semalam.
Sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu, menjerumuskan negara ke dalam pergolakan, Suu Kyi berdepan dengan pelbagai kes jenayah yang boleh menyebabkan dia dipenjarakan selama beberapa dekad.
Dalam kes terbaru, pemenang Hadiah Nobel itu yang berada dalam tahanan tentera sejak malam rampasan kuasa dan dituduh menerima rasuah wang tunai AS$600,000 dan jongkong emas.
Selepas dua hari penangguhan, Mahkamah Khas di ibu negara yang dibina tentera Naypyidaw menjatuhkan keputusan dan hukumannya pada 9.30 pagi, kata sumber itu.
Selain itu, Suu Kyi, 76, masih menghadapi pelbagai pertuduhan jenayah lain, termasuk melanggar Akta Rahsia Rasmi, rasuah dan penipuan pilihan raya dan boleh dipenjarakan selama lebih 100 tahun jika sabit kesalahan atas semua tuduhan.
Terdahulu, Suu Kyi juga dijatuhkan hukuman penjara enam tahun kerana menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan Covid-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi walaupun dia akan kekal di bawah tahanan rumah sementara dia melawan tuduhan lain.
Dalam pada itu, wartawan dihalang daripada menghadiri perbicaraan mahkamah dan peguam Suu Kyi juga dilarang bercakap kepada media.
Menurut kumpulan pemantau tempatan, lebih 1,700 orang terbunuh dan lebih 13,000 ditangkap dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat sejak rampasan kuasa, AFP