
SIBU: Seorang wanita berusia 44 tahun yang ditahan bersama suaminya atas dakwaan terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Sibu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman empat hari.
Perintah pembebasan dikeluarkan oleh Majistret Oon Kork Chern selepas permohonan oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Aminur Rizwan Saiful Bahari. Wanita itu diwakili peguam Darren Ling.
Suaminya, 52 tahun, masih dalam tahanan reman selama tujuh hari sejak 20 Jun dan dijangka dibawa semula ke mahkamah Khamis ini bagi siasatan lanjut.
Pasangan tersebut ditahan dalam operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sibu pada 12 dan 13 Jun lalu di beberapa lokasi sekitar Jalan Pedada dan Lorong Permai Jaya.
Polis merampas dadah bernilai RM532,934.40 termasuk 7,086.7 gram syabu, 2,078.9 gram ketamin dan 2,022.6 gram pil Erimin 5. Turut disita ialah wang tunai RM5.15 juta, jongkong dan barang kemas emas, jam tangan mewah dan tiga kenderaan, menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM8.53 juta.
Pasangan ini dipercayai aktif menjalankan kegiatan sejak 2015 dan disyaki antara penggerak utama sindiket berkenaan. Siasatan lanjut masih diteruskan.
Oleh Tarani Lanting