
SIBU: Mahkamah Majistret hari ini membenarkan seorang lelaki berusia 52 tahun, suspek utama dalang sindiket pengedaran dadah, dibebaskan dengan ikat jamin polis, susulan rayuan pihak penyiasat.
Penolong Pendaftar Kanan Jessica Lee Suk Kiun membuat keputusan itu selepas Inspektor Aminur Rizwan Saiful Bahari memohon penangguhan reman suspek yang tamat hari ini, setelah tujuh hari direman sejak 20 Jun lalu.
Isteri suspek, 44 tahun, sudah dibebaskan dengan ikat jamin pada 24 Jun lalu, selepas direman selama empat hari.
Serbuan telah dijalankan pada 12 dan 13 Jun oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sibu di beberapa lokasi termasuk tepi sebuah kedai di Pusat Pedada dan dua rumah di Lorong Permai Jaya yang membawa kepada rampasan besar melibatkan sejumlah RM532,934.40 dalam bentuk Syabu (7,086.7 gram), Ketamin (2,078.9 gram) dan Erimin 5 (2,022.6 gram).
Turut dirampas ialah tunai sebanyak RM5.16 juta, empat jongkong emas, dua rantai emas, dua jam tangan Rolex dan tiga kenderaan.
Suspek dipercayai menjalankan sindiket sejak 2015 menggunakan kurier dari Semenanjung Malaysia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Oleh Akun Giman