
BINTANGOR: Seorang lelaki yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah ditahan polis selepas disahkan positif amphetamine dan methamphetamine dalam Ops Tapis di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata suspek berusia 35 tahun tersebut ditahan oleh sepasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong pada 5.30 petang sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing terhadap suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, suspek didapati mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan jenayah dadah,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah di kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Kami menyeru supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada pihak Polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek