
BAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun bagi membantu siasatan kes curi dan khianat di bawah Seksyen 380 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, menurut Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman.
Beliau berkata tangkapan dilakukan dalam operasi Op Cantas pada sekitar 12.15 tengah hari tadi di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, Jalan Sebuku.
“Suspek ditahan selepas anggota polis memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis,” katanya.
Kes itu berkaitan laporan polis yang dibuat pada 22 Mac lalu. Siasatan awal mendapati suspek bersama seorang lagi individu dikenali sebagai ‘UL’, yang masih bebas, pergi ke Tasik Biru, Bau pada awal pagi.
“Di sebuah pusat hiburan keluarga, suspek dan rakannya dipercayai merosakkan beberapa mesin permainan jenis ‘claw machine’ dan mengambil beberapa kotak hadiah daripada mesin tersebut,” jelas beliau.
Beliau menambah suspek mengaku merosakkan kunci mesin permainan dan mengambil beberapa kotak mainan, tetapi tidak dapat mengingati jumlah sebenar barang yang diambil.
Hasil soal siasat lanjut juga mendapati suspek mengaku mengambil dadah jenis Eramin 5 pada minggu lepas.
“Suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, termasuk kes dadah, khianat dan jenayah lain,” katanya.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Oleh Connie Chieng