
MADRID: Veteran bintang Hollywood, Susan Sarandon, akan menerima anugerah antarabangsa pada anugerah filem paling berprestij Sepanyol bulan depan atas kerjayanya yang “luar biasa” serta “komitmen politik dan sosial yang berani”, umum Akademi Perfileman Sepanyol.
Pelakon Amerika Syarikat yang pernah menang Oscar itu, kini berusia 79 tahun, akan menerima penghormatan pada Anugerah Goya ke-40 di Barcelona pada 28 Februari atas pengiktirafan terhadap gabungan bakat, kejayaan profesional, glamor serta komitmen sosial dan politik yang diwakilinya.
Kerjayanya merangkumi “karya agung yang tidak dapat dipertikaikan, filem ikonik yang telah menjadi sebahagian daripada budaya popular, serta karya berstatus klasik”, kata Akademi, sambil menyenaraikan The Witches of Eastwick, The Client dan Atlantic City sebagai antara “judul legendari” beliau.
Akademi turut menekankan “kepelbagaian lakonannya, suara lantangnya dalam pelbagai perjuangan, serta kecenderungannya mengambil risiko dan meneroka sinema eksperimental”, termasuk peranannya dalam filem klasik feminis, ‘Thelma and Louise.’
Sarandon menang anugerah Oscar Pelakon Wanita Terbaik pada 1996 menerusi filem Dead Man Walking, yang mana beliau melakonkan watak seorang biarawati yang menyokong seorang lelaki yang dijatuhi hukuman mati.
Akademi juga menyifatkan beliau sebagai “pembela tegar hak asasi manusia”.
Sarandon dikenali sebagai pengkritik lantang terhadap apa yang disifatkannya sebagai ‘genosid’ di Gaza, selain terlibat secara aktif dalam perbahasan mengenai kebebasan bersuara dan hukuman mati di Amerika Syarikat.
Beliau akan menyertai Cate Blanchett, Juliette Binoche, Sigourney Weaver dan Richard Gere sebagai antara bintang asing yang pernah memenangi anugerah antarabangsa di Anugerah Goya. – AFP