SALAH satu usaha digerakkan untuk merealisasikan pembentukan Malaysia adalah penubuhan sebuah suruhanya bebas. Suruhanjaya yang asalnya dikenali sebagai Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara dan Sarawak tetapi lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.
Nama ini diambil sempena nama pengerusi suruhanjaya itu, Lord Cobbold. Suruhanjaya ini ditubuhkan oleh Kerajaan Tanah Melayu dan British pada 16 Januari 1962.
Ahli suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold sebagai pengerusi dan empat ahli lain. Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston dilantik oleh Kerajaan British, manakala Muhammad Ghazali Shafie dan Datuk Wong Pow Nee dilantik oleh Kerajaan kerajaan Tanah Melayu.
Ahli-ahli
Lord Cobbold adalah bekas Gabenor Bank England, manakala Anthony Abell adalah bekas Gabenor Sarawak dan Persuruhjaya Tinggi British ke Brunei. Rakannya iaitu Sir David Watherston pula adalah bekas Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu.
Muhammad Ghazali Shafie pula ialah Setiausaha Tetap Kementerian Luar Tanah Melayu. Datuk Wong Pow Nee adalah Ketua Menteri Pulau Pinang. Setiausaha bagi suruhanjaya ini ialah I. H. Harris, pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan di London.
Tujuan
Suruhanjaya ini diberi dua tugas besar untuk melakukan tinjauan ke atas penduduk di Sarawak dan Sabah. Pertama suruhanjaya ini melakukan siasatan fikiran penduduk di kedua-dua wilayah berkenaan dengan penubuhan Malaysia.
Kedua pula mempunyai tugas untuk mendengar dan mendapat maklum balas penduduk tempatan, seterusnya menimbangkan syor-syor perlu dalam tinjauan ini. Suruhanjaya ini mengadakan tugas pertama mereka dengan terbang ke Kuching pada 19 Februari 1962. Mereka menjalankan tinjauan di kedua-dua wilayah selama kira-kira dua bulan.
Tinjauan
Sepanjang tinjauan dilakukan oleh suruhanjaya ini, 50 perjumpaan diadakan. Lawatan mereka juga meliputi kawasan bandar dan luar bandar serta pedalaman.
Dalam hal ini, kira-kira 35 tempat dilawati. Daripada jumlah ini, mereka mengadakan lawatan dan tinjauan di 20 tempat di Sarawak, manakala di Sabah pula 15 tempat dilawati.
Lawatan dilakukan suruhanjaya ini menemui kira-kira 4,000 orang. Mereka yang berjumpa dengan suruhanjaya ini juga terdiri dalam kalangan parti politik dan persatuan.
Dalam lawatan tinjauan ini, mereka juga mengalu-alukan orang ramai menghantar memorandum. Seruan daripada suruhanjaya ini membawa kepada sebanyak 1,600 pucuk surat memorandum yang diterima di Sarawak, manakala kira-kira 600 pucuk surat memorandum diterima daripada penduduk Sabah.
Intisari memorandum
Dalam hal ini, ada tuntutan yang sama diutarakan oleh penduduk Sarawak dan Sabah. Bagi Sarawak, perkara yang disentuh adalah mengenai ketua negeri, soal tanah, bahasa Inggeris, agama, imigresen, pembangunan dan pegawai dagang serta soal kerakyataan. Rata-rata apa yang disuarakan oleh mereka ini hampir sama.
Soal ketua negeri misalnya, mereka menuntut hendaklah dilantik dalam kalangan orang Sarawak sendiri. Begitu juga soal agama dimana mereka menekankan supaya kebebasan beragama diamalkan.
Dalam soal kedudukan istimewa orang Melayu dalam perlembagaan Tanah Melayu, mereka juga menuntut perkara sama dinikmati penduduk Bumiputera.
Kesepakatan mereka juga dilihat dalam soal imigresen apabila mereka mahukan kuasa ini diberi kepada negeri. Tambahan daripada itu, mereka mahukan soal pembangunan di Sarawak perlu dipercepatkan.
Mengenai pegawai dagang pula, mereka mahukan supaya ia diganti dengan orang tempatan iaitu anak Sarawak sendiri.
Berkaitan soal bahasa, mereka mempunyai pendapat berbeza. Ada pihak menyokong supaya bahasa Inggeris dikekalkan menjadi bahasa rasmi bagi Sarawak. Bagi pihak lain pula masih menyokong idea ini tetapi mahukan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Mereka menambah agar bahasa Melayu perlu mengantikan bahasa Inggeris dalam tempoh 10 tahun.
Soal agama walaupun ada menyokong kebebasan beragama tetapi ada juga cadangan lain mahu menekankan soalan agama Islam sebagai agama rasmi.
Tamat
Usaha suruhanjaya ini akhirnya menamatkan tinjauan penyiasatan mereka pada 18 April 1962. Laporan dalam tinjuan ini disiapkan pada Jun 1962.
Laporan yang sudah siap ini diserahkan kepada Kerajaan Tanah Melayu dan British. Berdasarkan laporan mereka (termasuk dari Sabah), mereka mendapati majoriti penduduk kedua-dua wilayah menyokong pembentuk Malaysia.
Dalam hal ini mereka yang menyokong terdiri daripada dua kumpulan. Kumpulan pertama menyokong tanpa mengambil berat mengenai syarat-syarat penyertaan kedua-dua wilayah ini ke dalam penubuhan Malaysia.
Bagi kumpulan kedua pula menyokong penubuhan Malaysia dengan mengenakan syarat tertentu bagi membolehkan kedua-dua wilayah ini menyertai pembentukan Malaysia. Mereka mahu supaya Sarawak mendapat jaminan secukupnya dalam persekutuan baharu ini.
Tuntutan berlainan
Dapatan dalam tinjauan ini juga mendapati ada pihak yang sangsi kepada penyertaan Sarawak dalam penubuhan Malaysia.
Mereka ini terdiri daripada dua kumpulan. Pertama mahukan Sarawak merdeka dahulu. Selepas itu barulah memikirkan soal Sarawak untuk membentuk Malaysia dengan wilayah lain. Mereka menyokong agar British terus memerintah Sarawak untuk beberapa tahun.
Kumpulan kedua pula lebih kepada usaha mengenakan syarat ketat penyertaan Sarawak dalam penubuhan Malaysia. Kumpulan yang sangsi ini hanya mewakili kumpulan minoriti sahaja. Kebanyakan rakyat Sarawak menunjukkan kecenderungan untuk menyokong penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia.
Atas sebab itu kesimpulan dibuat oleh suruhanjaya tersebut bahawa penduduk negeri ini menyokong Sarawak menyertai pembentukan Malaysia.
Berdasarkan kesimpulan ini, maka Sarawak bersedia untuk menyertai pembentukan Malaysia. Akhirnya hasrat merdeka dalam persekutuan baharu ini berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963. Selamat Hari Malaysia.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.