
SIBU: Seorang suri rumah kerugian RM447,300 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 60-an, berkenalan dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri dengan nama Ah Chong menerusi aplikasi Facebook.
Katanya, mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek lain yang menggunakan nama Amy melalui aplikasi Whatsapp telah menawarkan mangsa untuk mengikuti satu pelaburan saham dan dijemput dalam satu group Whatsapp atas nama programme vipo12.
“Setelah mendengar penerangan dari suspek dan melihat banyak keuntungan yang diperolehi dari pelabur lain, mangsa berminat dan bersetuju untuk mengikuti pelaburan atas nama malaysia J.P Morgan Family Office, yang hanya membuat bayaran kepada akaun yang diberikan dan pulangan akan dimasukkan ke akaun yang dimuat naik atas nama jpfo max,” katanya.
Katanya, mangsa telah membuat semakan melalui aplikasi jpfo max dan mendapati jumlah keuntungan hasil pelaburan sangat memberansangkan menyebabkannya terus membuat bayaran bagi mendapatkan lebih banyak lagi keuntungan.
“Pada 16 April sehingga 20 Mei, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak 33 kali transaksi secara keseluruhan berjumlah RM447,300 ke dalam lima akaun tempatan.
“Setelah pembayaran pelaburan berjaya dibuat, mangsa telah meminta untuk dikeluarkan keuntungan yang terkumpul sekitar RM800,000 yang dilihat melalui aplikasi jpfo max.
“Namun suspek mengatakan pengeluaran tidak dibenarkan dengan alasan pelaburan masih berjalan dan memerlukan penambahan modal.
“Sehingga laporan dibuat, mangsa tidak memperoleh sebarang keuntungan dari pelaburan tersebut dan sedari telah ditipu,” ujarnya.
Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menerima laporan berhubung kejadian itu, semalam.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Oleh Akun Giman