
BAU: Seorang suri rumah berusia awal 40-an kerugian kira-kira RM3,200 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan jualan barang kemas emas yang diiklankan melalui aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Bau, Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa tertarik dengan iklan jualan emas yang dilihat di aplikasi TikTok pada 3 Mac lalu.
“Mangsa telah melihat iklan emas menggunakan nama ‘Pajak Gadai Lelong Emas 916’ di TikTok dan berminat kerana harga yang ditawarkan sangat murah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi pemilik akaun TikTok tersebut yang dikenali sebagai Nurul Hana dan bersetuju membeli dua utai gelang emas serta satu utas rantai emas dengan harga RM260.
Bagaimanapun, pada hari yang sama mangsa telah membuat empat transaksi pembayaran secara pemindahan wang dalam talian dengan jumlah keseluruhan sekitar RM3,200.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Haide berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat, dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai yang menjadi mangsa penipuan siber supaya segera menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997 sekiranya baru sahaja membuat pemindahan wang ke akaun bank atau e-dompet milik suspek.
“Orang ramai juga digalakkan memuat turun aplikasi Whoscall melalui Google Play Store atau Apple App Store bagi membantu mengenal pasti panggilan telefon yang mencurigakan. Nombor telefon yang tersenarai dalam pangkalan data akaun keldai polis akan ditandakan sebagai ‘scammer’ dalam aplikasi tersebut,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang mencurigakan melalui aplikasi Check Scammers CCID atau laman web Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Oleh Connie Chieng