
SARATOK: Seorang penduduk berdepan detik mencemaskan apabila menemui seekor ular tedung hitam bersembunyi di bawah longgokan daun pisang kering di halaman rumahnya di Lorong 2, Taman Seroja Indah, awal pagi tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Saratok menerima panggilan kecemasan daripada pengadu yang dikenali sebagai Atun, 32, pada 6.54 pagi selepas wanita itu menyedari kehadiran reptilia berbisa berkenaan dan segera memohon bantuan.
Beliau berkata, sepasukan tiga anggota APM yang diketuai Prebet Izzuddin Hakim Ahmad Sufian bersama Prebet Christoper Reccie Asu dan Prebet Holleyness Alek segera digerakkan ke lokasi dengan menaiki kenderaan pejabat jenis Proton Persona, sebelum tiba kira-kira empat minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pada 7.01 pagi, anggota mengesahkan terdapat seekor ular tedung hitam sepanjang kira-kira 0.3 meter sedang bersembunyi di bawah longgokan daun pisang kering di tepi rumah berkenaan.
Sebelum operasi dijalankan, semua anggota terlebih dahulu memakai kelengkapan perlindungan diri bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa dipatuhi.
“Ular itu berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas dan teknik menyepit dalam tempoh beberapa minit sebelum dibawa pulang ke PKOD Saratok untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.12 pagi dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan sepanjang operasi berkenaan.
APM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap sendiri ular atau haiwan berbisa yang ditemui di kawasan kediaman, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Oleh Adi Safarman