

DALAM kehidupan ini, seringkali kita berdepan dengan persoalan: Apakah sesuatu yang berlaku itu hanyalah kebetulan semata-mata atau sebenarnya ia adalah suratan yang telah ditentukan? Persoalan ini bukan sahaja menguji akal fikiran, malah menuntut kita memahami hakikat iman dan takdir dalam kehidupan seorang Muslim.
Setiap detik yang berlalu, sama ada pahit atau manis, tidak pernah lari daripada pengetahuan Allah SWT.
Sebagai insan beriman, kita yakin bahawa Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Justeru, tiada satu pun peristiwa yang terjadi dalam hidup ini bersifat sia-sia, sebaliknya semuanya terkandung hikmah.
Penulis berusaha mengupas konsep “Suratan atau Kebetulan” melalui akronim S.U.R.A.T.A.N. dengan harapan ia dapat menjadi panduan renungan, penyuntik semangat serta motivasi agar kita mampu menempuh kehidupan yang penuh ujian dengan jiwa yang tenang dan hati yang tabah.
S – Setiap Yang Berlaku Ada Hikmahnya
Dalam pandangan Islam, tiada sesuatu pun yang berlaku secara kebetulan atau sia-sia. Allah SWT berfirman dalam al-Quran bahawa Dia tidak mencipta langit dan bumi dengan main-main. Setiap kejadian, sama ada kecil mahupun besar, tersimpan pengajaran.
Kadangkala kita tidak nampak hikmah sesuatu peristiwa ketika ia berlaku. Namun setelah masa berlalu, barulah kita menyedari bahawa kejadian itu mendidik kita menjadi lebih matang, sabar dan berhati-hati.
Oleh itu, kita perlu sentiasa yakin bahawa setiap perkara atau ujian yang kita hadapi ada rahsia Ilahi yang mengandungi kebaikan.
U – Ujian Adalah Tanda Kasih Allah SWT
Hidup tanpa ujian adalah mustahil. Kesusahan, penyakit, kegagalan atau kehilangan bukanlah tanda Allah SWT membenci hamba-Nya, sebaliknya ia adalah bukti kasih sayang-Nya.
Seperti seorang guru yang menguji anak murid untuk meningkatkan tahap pengetahuan, begitulah Allah SWT menguji hamba-Nya untuk menguatkan iman.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, maka Dia akan menguji mereka.” Walaupun pahit, di hujungnya pasti tersimpan kemanisan yang sudah semestinya menuntut kita bersabar dan redha.
R – Redha Membuka Pintu Ketenangan
Redha adalah kunci ketenangan jiwa. Orang yang redha menerima ketentuan Allah SWT dengan hati terbuka, yakin bahawa apa sahaja yang berlaku adalah yang terbaik untuknya.
Redha bukan bererti menyerah tanpa usaha, tetapi setelah segala ikhtiar dilakukan, hati tetap tenang dengan apa sahaja ketentuan Allah SWT.
Insan yang redha akan merasa damai di hati meskipun dihimpit ujian kerana dia percaya ada ganjaran besar di sisi Allah SWT.
A – Arah Hidup Kita Yang Merancang
Kita sering merancang masa depan iaitu kita mahu berjaya, mahu bahagia, mahu selamat. Namun, secantik mana pun perancangan kita, akhirnya Allah SWT yang menentukan hasilnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah SWT, Tuhan seluruh alam”. (At-Takwir: 29).
Ayat ini menegaskan bahawa kehendak dan kemahuan manusia tidak akan terlaksana melainkan jika Allah SWT juga menghendakinya, kerana Allah SWT adalah Tuhan bagi seluruh alam semesta.
Maka tugas kita ialah merancang dengan baik, berusaha dengan gigih, dan kemudian bertawakal kepada Allah SWT. Inilah keseimbangan antara ikhtiar manusia dengan keimanan kepada qada’ dan qadar.
T – Takdir Bukan Alasan Untuk Pasrah
Ada orang salah faham dengan berkata: “Kalau sudah takdir begini, apa guna berusaha?” Sedangkan Islam menegaskan bahawa manusia wajib berusaha.
Takdir bukan alasan untuk berdiam diri. Sebaliknya, ia menjadi motivasi untuk bekerja keras kerana usaha adalah sebahagian daripada ibadah.
Setelah usaha dijalankan, barulah kita berserah kepada Allah SWT. Inilah yang disebut tawakal. Ia bukan menyerah tanpa ikhtiar, tetapi berusaha sepenuh hati dan menyerahkan hasilnya kepada Allah SWT.
A – Amalan Baik Menjadi Penentu Nilai Takdir
Walaupun takdir itu tertulis, Allah SWT memberikan ruang untuk manusia menentukan kualiti hidupnya melalui amalan baik.
Seseorang yang menjaga solat, berbuat kebaikan, dan menjauhi maksiat akan diberi keberkatan hidup.
Amalan baik menjadi penentu nilai seseorang di sisi Allah SWT. Inilah yang membezakan insan yang taat dengan insan yang lalai. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain.” Maka, amalan kita akan menjadi bekalan yang akan menentukan nasib kita di dunia dan akhirat.
N – Niat Yang Baik Menghiasi Suratan
Segala amal bergantung kepada niat kita. Jika niat kita baik, maka Allah SWT akan memberkati usaha kita walaupun hasilnya tidak seperti yang diharapkan.
Niat yang ikhlas kerana Allah SWT akan mengangkat darjat seseorang. Suratan yang Allah SWT tetapkan akan berpihak kepada mereka yang memulakan langkah dengan niat yang jujur.
Oleh itu, setiap usaha, pekerjaan dan perbuatan hendaklah dimulakan dengan niat yang tulus agar ia bernilai sebagai ibadah.
Mengambilkira setiap sudut perbincangan ini, boleh kita ringkaskan bahawa hidup ini bukan kebetulan.
Setiap detik adalah suratan yang telah Allah SWT tetapkan dengan penuh hikmah. Tugas kita ialah memaknainya dengan iman, sabar, redha, dan usaha yang gigih.
Setiap yang berlaku ada hikmah dan ujian itu tanda kasih Allah SWT.
Sebagai insan kita perlu redha agar ia dapat membuka pintu ketenangan dalam perjalanan hidup kita yang merancang dan Allah SWT menentukan segala-galanya.
Apapun yang terjadi, takdir bukan alasan untuk pasrah. Kita hendaklah meneruskan dengan usaha serta amalan yang baik sebagai penentu nilai hidup.
Yang paling penting, niat kita hendaklah dimulakan dengan baik sebagai menghiasi suratan hidup ini.
Semoga renungan ini memberi semangat kepada kita untuk terus melangkah dengan penuh syukur, tabah menghadapi cabaran, dan yakin bahawa setiap langkah yang dilalui adalah sebahagian daripada perancangan Allah SWT untuk kejayaan dunia dan akhirat.
Wallahu alam Bissawab