
KUCHING: Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Datin Patinggi Puan Sri Dr Jane Yong Sau Kan.
Bercakap bagi pihak SUPP, beliau berkata mendiang, isteri kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan bekas presiden SUPP mendiang Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai, akan dikenang atas dedikasi sepanjang hayat, kerendahan hati serta keteguhan prinsipnya.
Beliau turut merakamkan simpati kepada keluarga mendiang dalam menghadapi saat sukar ini.
Dr Jane yang meninggal dunia pada usia 100 tahun dikenali sebagai seorang yang tabah, sederhana dan berpegang teguh kepada prinsip.
Sepanjang hayatnya, beliau sentiasa berdiri teguh di sisi suaminya dalam perjalanan politik, memberikan sokongan padu ketika beliau berkhidmat kepada rakyat serta memimpin SUPP melalui pelbagai cabaran.
Sebagai seorang pengamal perubatan yang dihormati, beliau berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh dedikasi dan keprihatinan terhadap pesakit. Rasa tanggungjawab dan ketenangannya terserlah bukan sahaja dalam kerjaya perubatannya, malah dalam sumbangannya kepada keluarga, masyarakat dan parti.
Sejak menyertai SUPP pada tahun 1978, beliau kekal setia dan komited, serta dihormati atas ketabahan khususnya ketika berdepan waktu mencabar.

Ting turut mengimbau detik pada Ogos 2017 apabila beliau, walaupun berusia lanjut dan mempunyai pergerakan terhad akibat kecederaan buku lali, tetap bertegas untuk hadir sebagai saksi utama dalam tindakan undang undang SUPP bagi mendapatkan semula tiga unit rumah kedai di Sibu.
Keterangannya memainkan peranan penting dalam membantu parti berjaya mendapatkan semula hartanah tersebut. Ketibaannya di Mahkamah Tinggi disambut dengan tepukan sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian dan ketabahannya.
Beliau pernah menyatakan bahawa walaupun terpaksa hadir menggunakan kerusi roda, beliau tetap akan hadir untuk menyatakan kebenaran, mencerminkan komitmennya terhadap kebenaran dan prinsip.
Sepanjang hayatnya, beliau kekal rendah diri dan tidak pernah mengejar pengiktirafan peribadi. Beliau pernah menolak anugerah peribadi dan hanya menerima Anugerah Kesetiaan dan Dedikasi Sepanjang Hayat Sa’ati bagi pihak mendiang suaminya.
Menurut Ting, pemergian beliau merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada SUPP dan rakyat Sarawak, dan legasinya akan terus dikenang.
Beliau turut mendoakan agar roh mendiang dicucuri rahmat dan keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat berduka ini.
Oleh Connie Chieng