
SIMANGGANG: Kira-kira 1,000 ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang, Pantu dan Lingga telah berhimpun pada majlis sambutan ulang tahun ke-66 SUPP Cawangan Simanggang yang telah diadakan dekat sini, hari ini.
Sambutan ulang tahun ke-66 SUPP Cawangan Simanggang itu telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Presiden SUPP Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Sim dalam ucapannya berkata kekuatan parti SUPP semakin menyerlah dan mula diterima dengan baik dan meyakinkan sebagai sebuah parti tertua dan masih relevan dan sealiran dengan komponen parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Sarawak sekarang sedang bergerak maju tanpa menoleh ke belakang untuk mencapai impian Sarawak maju menjelang 2030. Dalam proses membina negara bangsa atau ‘Nation Building’, kekuatan dan kestabilan politik merupakan tunjang utama bagi kerajaan untuk memerintah dengan cemerlang,” katanya.
Menurut beliau juga, Sarawak sentiasa mengutamakan kemakmuran penduduknya dengan menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah dimanipulasi sehingga Sarawak tidak mendapat apa yang sepatutnya.
“Kebangkitan Sarawak sekarang hasil daripada daya kepimpinan tertinggi jemaah menteri dan perkhidmatan awam Sarawak serta agensi kerajaan Sarawak yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” ujarnya.
Timbalan Presiden 2 SUPP, Dato Sri Lee Kim Shin turut menggesa ahli parti agar terus bersatu demi kesinambungan kepimpinan dari pemimpin yang terdahulu sebagai pengasas parti dan tidak pernah menyerah kalah dan mengambil ungkapan ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ sebagai sangat tepat dalam perjuangan parti.
Sementara itu, Pengerusi SUPP Cawangan Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis melahirkan rasa teruja dengan sambutan ahli parti ditambah dengan kehadiran timbalan presiden dan presiden parti yang mencerminkan sokongan padu pemimpin atasan parti terhadap cawangan parti.
Beliau berkata bagi mengukuhkan kekuatan parti, penambahan keahlian merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan sebagai manifestasi kekuatan sesebuah parti dan ianya harus menjadi matlamat utama setiap ahli untuk merekrut ahli baharu.
“Pada tahun ini kita menyasarkan 500 ahli baharu untuk mencapai keahlian parti SUPP Cawangan Simanggang kepada 5,000 orang. Sasaran ini boleh dicapai dengan kerja keras semua ahli parti melalui pendekatan seperti Mobile Services 2U dan platform lain ketika lawatan ke rumah panjang, kampung dan taman-taman perumahan,” jelasnya.
Pada majlis tersebut diselitkan dengan penyerahan kad keahlian SUPP Cawangan Simanggang sebanyak 120 orang manakala seramai 68 ahli SUPP Cawangan Lingga turut menerima kad keahlian.
Terdahulu pada sebelah pagi telah diadakan penyerahan cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 82 pertubuhan dengan jumlah keseluruhan RM180,000.
Manakala sebelum ini ketika majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak baru-baru ini, Harden telah menyampaikan cek MRP berjumlah RM473,000 kepada 75 buah pertubuhan.
Oleh Adi Safarman