
SIBU: Kerajaan Sarawak disifatkan telah menunjukkan komitmen politik yang jelas dalam memperkasakan pendidikan tinggi melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie menolak dakwaan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyifatkan skim itu sebagai diskriminasi terhadap pelajar Sarawak di universiti bukan milik negeri.
Menurut beliau, FTES yang diumumkan beberapa hari lalu melibatkan 64 kursus peringkat ijazah sarjana muda dan seharusnya disokong sebagai dasar progresif yang memberi manfaat langsung kepada pelajar Sarawak.
“Apabila Kerajaan Sarawak melaburkan dana awam dalam pendidikan, keutamaan wajar diberikan kepada usaha memperkukuh institusi milik negeri. Ini adalah pendekatan munasabah dan selari dengan kerangka tadbir urus pendidikan tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Lau menegaskan tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak inklusif adalah tidak tepat kerana elaun sara hidup tahunan sebanyak RM1,200 turut diberikan kepada semua pelajar Sarawak yang layak tanpa mengira institusi pengajian.
Beliau turut mempersoalkan peranan Chong sebagai Ahli Parlimen dalam memperjuangkan kepentingan pelajar Sarawak di peringkat persekutuan, khususnya berkaitan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi sebanyak RM18.6 bilion di bawah Belanjawan Persekutuan 2026.
“Adakah beliau membangkitkan di Parlimen berapa jumlah peruntukan yang benar-benar disalurkan kepada Sarawak? Begitu juga dengan peruntukan sekitar RM4.4 bilion bagi biasiswa, pinjaman dan elaun oleh Kerajaan Persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan,” ujarnya.
Di peringkat negeri, katanya, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM15 juta dalam Belanjawan Negeri 2026 bagi subsidi bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam Sarawak yang telah melunaskan lebih 30 peratus daripada jumlah pinjaman mereka.
Lau menyarankan Chong agar bekerjasama secara konstruktif dengan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim bagi menunaikan janji Pakatan Harapan berhubung reformasi PTPTN.
“Pendidikan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan. Kerajaan Sarawak telah memainkan peranannya. Kini tiba masanya DAP Sarawak membuktikan komitmen mereka dengan hasil nyata untuk pelajar Sarawak di peringkat persekutuan,” tegasnya.