
KUCHING: Cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengurangkan kuota bahan api bersubsidi RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan dipertikai oleh SUPP Stakan yang menyifatkannya sebagai tidak adil kepada Sarawak.
Dalam satu kenyataan media, SUPP Stakan menegaskan, cadangan tersebut bukan sahaja tidak tepat pada masanya, malah tidak mengambil kira realiti kehidupan rakyat di negeri ini yang masih kekurangan sistem pengangkutan awam yang menyeluruh.
Menurutnya, penggunaan kenderaan persendirian adalah keperluan utama berikutan faktor geografi Sarawak yang luas serta penempatan penduduk yang berselerak.
“Malah, ramai penduduk terpaksa menempuh perjalanan melebihi 2,500 kilometer setiap bulan bagi tujuan pekerjaan, pendidikan, rawatan kesihatan dan keperluan harian.
“Dengan pengurangan kuota kepada 200 liter, rakyat akan terpaksa membeli bahan api pada harga pasaran sekali gus meningkatkan kos sara hidup,” katanya.
Tambah kenyataan itu, peningkatan kos bahan api dijangka memberi kesan rantaian kepada ekonomi termasuk peningkatan kos pengangkutan dan logistik, yang akhirnya menyebabkan harga barangan serta perkhidmatan meningkat di Sarawak dan juga seluruh negara.
SUPP Stakan turut menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak wajar memandangkan Sarawak merupakan antara penyumbang utama hasil minyak dan gas negara.
Sehubungan itu, parti berkenaan berpandangan keuntungan luar biasa yang diperoleh oleh Petronas, khususnya ketika harga minyak global tinggi, seharusnya dimanfaatkan untuk mengekalkan subsidi bahan api kepada rakyat Sarawak.
Tambahnya, pelaksanaan dasar secara seragam di peringkat Persekutuan adalah tidak sesuai, sebaliknya satu mekanisme subsidi bahan api khusus untuk Sarawak perlu diwujudkan bagi mencerminkan keunikan negeri ini serta haknya terhadap sumber negara.
SUPP Stakan turut menggesa agar cadangan tersebut dikaji semula dengan segera demi menjaga kebajikan rakyat Sarawak.