
SIBU: Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi supaya Petronas memuktamadkan perjanjian komersial bersama Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebelum 31 Disember ini.
Menurutnya, Petros telah dilantik sebagai pengagregat gas tunggal berkuat kuasa 1 Februari 2024 selaras dengan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) yang digariskan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, rundingan perjanjian komersial tersebut masih berlarutan tanpa keperluan yang jelas untuk ditangguhkan.
“Kami berharap Petronas bertindak segera dan dengan penuh keikhlasan untuk memuktamadkan perjanjian itu sebelum 31 Disember tahun ini.
“Adalah membimbangkan apabila Petronas dilihat lebih memberi tumpuan kepada kerjasama baharu dengan rakan antarabangsa dari Itali dan Perancis, sedangkan perjanjian dengan Petros masih belum dimuktamadkan.
“Tindakan seperti ini boleh menimbulkan persepsi bahawa Petronas lebih mengutamakan kepentingan korporat berbanding menghormati hak Sarawak serta menyumbang kepada apa yang sering digambarkan sebagai ‘kisah Malaysia’,” katanya.
Lau yang juga Pengerusi SUPP Bawang Assan berkata kerajaan Sarawak sudah menetapkan hala tuju tenaga yang jelas dan progresif, termasuk pembangunan industri tempatan, peluasan penggunaan gas hiliran serta pemacuan tenaga hijau dan pengurusan karbon.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama yang erat dan tulen antara Petronas dan Petros bukan sahaja wajar, malah penting bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global.
“Kami menggesa Petronas memberi keutamaan dan mempercepatkan pemuktamadan perjanjian ini tanpa sebarang kelewatan lagi, atas dasar kerjasama, hormat-menghormati serta tanggungjawab bersama terhadap keselamatan tenaga jangka panjang negara,” katanya.
Lau turut menegaskan hak Sarawak perlu dihormati dan setiap kemajuan negeri ini menyumbang secara langsung kepada kekuatan, perpaduan dan ketahanan ekonomi Malaysia.